GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang belum lagi membuat keputusan untuk membenarkan sebarang aktiviti diadakan di dalam masjid dan surau termasuk solat Jumaat bersyarat seperti yang akan dilakukan di Perlis mulai 15 Mei ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, sebelum ini memang ada cadangan untuk membuka sebahagian aktiviti pengimarahan masjid terutamanya dalam bulan Ramadan, namun tiada sebarang kata putus dapat dibuat ketika ini.
“Di peringkat Pusat telah berlangsung perbincangan dan telah ada beberapa cadangan yang perlukan keputusan beberapa jawatankuasa peringkat tertinggi sebelum ianya dapat dilaksanakan oleh negeri-negeri.
“Malah di peringkat negeri sendiri perkara ini perlu dibincang dalam Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum sebarang ketetapan dibuat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada 9 Mei.
Semalam, Sinar Harian melaporkan kerajaan Perlis memberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini sebagai permulaan bagi membolehkan ‘Syiar Jumaat’ dihidupkan kembali di negeri itu.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
Menurutnya, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah kebenaran itu tidak dapat diizinkan kepada masyarakat awam disebabkan ancaman penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang belum pulih sepenuhnya. – Sinar Harian
KOMEN