Oleh : Mohd. Shauki Abd. Majid
RAMADAN tahun ini tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. Umat Islam rasa sedikit cemas dengan situasi politik yang semakin rumit di samping dugaan dan godaan lain yang pasti akan dihadapi. Pada hakikatnya puasa Ramadan yang akan kita hadapi ini bukan semata-mata berlapar dan dahaga tanpa sebarang makna.
Sebab itu, orang yang berpuasa tanpa persiapan mental dan keinsafan diri yang mendalam, dianggap sia-sia seperti sabda Nabi yang bermaksud: “Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan sesuatu daripada puasa itu selain lapar dan dahaga”.
Pada prinsipnya, kewajipan berpuasa adalah kewajipan untuk meningkatkan kualiti diri seseorang yang berperanan sebagai ahli masyarakat, suami, isteri, anak, pemuda, guru, murid, pegawai, tokoh masyarakat dan juga pemimpin. Peningkatan kualiti diri adalah sangat penting sehingga Allah SWT mewajibkan puasa sebagai kewajipan sepanjang zaman dan sepanjang sejarah manusia.
Dalam surah al-Baqarah ayat 182 Allah SWT menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu”. Persoalannya adalah kenapa puasa yang menjadi ibadah wajib seluruh umat manusia dan seluruh masa dan tidak zakat, haji dan lainnya. Berasaskan ayat-ayat al-Quran dan Hadis jelas bahawa sasaran atau tumpuan utama daripada ibadah ini adalah untuk menundukkan nafsu yang ada dalam diri setiap manusia.
Kenapa nafsu yang menjadi sasaran bukan akal atau lain-lain? Ini adalah kerana nafsulah yang tidak mahu disuruh tunduk kepada Allah SWT dan juga kepada kebenaran kecuali dengan membuatkan ia lapar. Hanya dengan lapar nafsu seseorang itu akan tunduk kepada Allah dan kebenaran yang datang daripada Allah.
Tetapi kenapa harus dengan mengosongkan perut, tidak makan dan minun seharian? Jawapannya kerana nafsu itu berpangkalan di dalam perut. Perut menjadi pusat utama tumbuh dan berkembangnya nafsu. Justeru hakikatnya perut tidak harus sentiasa dalam keadaan kenyang. Orang yang perutnya selalu berada dalam keadaan kenyang menurut Imam Al-Ghazali akan dihinggapi oleh lima sifat tercela.
Pertama, dia ingkar kepada Allah. Kedua, dia tidak akan mengasihi orang lain kerana dia menganggap perut orang lain kenyang seperti perutnya. Ketiga, hatinya tidak dapat diresapi hidayah dan hikmah daripada orang-orang yang soleh. Kempat, kata-katanya tidak akan pernah menyentuh hati orang lain. Kelima, dia akan dihinggapi banyak penyakit.
Kasih dan simpati
Dengan ini puasa pada hakikatnya bermaksud untuk mendidik manusia kasih dan simpati antara satu sama lain. Hatinya pula mudah tersentuh dengan kebenaran. Jiwanya halus dan tahu berterima kasih, tahu menghargai jasa orang dan bukan manusia yang berkepentingan diri.
Sementara harapan menjadi manusia muttaqin adalah hikmah yang disertakan Allah dalam ibadah itu dan harus diperolehi oleh setiap orang melakukannya. Dalam mengerjakan ibadah puasa, umat Islam harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tingkat ketakwaan.
Takwa merupakan satu cara atau pola dalam menempuh kehidupan menerusi tingkah laku yang berasaskan kesedaran bahawa Allah itu sentiasa hadir di sisi kita. Ibadah puasa bukan setakat menahan makan dan minum sahaja, tetapi pemahaman tentang apa yang harus kita tahan itu lebih daripada sekadar berpuasa secara fizikal bahkan juga menahan nafsu (batiniah) itu lebih utama serta berupaya meningkatkan lagi tahap puasa seseorang itu.
Dalam masa sebulan berpuasa ini, kita seharusnya bermujahadah bersungguh-sungguh dengan menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara keji seperti mengumpat, buruk sangka, bergaduh, memutuskan hubungan silaturahim dan melakukan perkara-perkara maksiat yang lain. Jika tidak puasa itu sia-sia belaka.
Sifat prasangka buruk merupakan kategori daripada perbuatan zalim. Selalunya orang yang mempunyai sifat buruk sangka sesama muslim adalah mereka yang kurang melaku introspeksi diri, hanya melihat diri sendiri lebih baik daripada orang lain.
Oleh hal yang demikian, Nabi menganjurkan kepada semua manusia, terutama orang yang sedang berpuasa agar banyak melakukan introspeksi diri sebagaimana sabda baginda yang bermaksud; sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan introspeksi diri, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.
Puasa kemudiannya bukan sahaja menjadi etika individu, tetapi juga menjadi etika sosial dan gerakan moral yang efektif dalam menangani pelbagai masalah sosial seperti kemiskinan, jenayah, rasuah, dan sebagainya.
Oleh hal yang demikian, semua perbuatan umat manusia itu adalah untuk dirinya sendiri, kecuali puasa. Mengapa demikian? Kerana puasa merupakan ibadah yang paling peribadi dan tidak ada sesiapa yang tahu apakah kita berpuasa atau tidak kecuali diri kita sendiri dan Allah.
Kalau orang melakukan solat, maka perbuatan solat itu boleh diketahui orang. Begitu pula dengan zakat, kerana ada yang menerimanya. Lebih-lebih lagi ibadah haji dilakukan di tempat yang umum. Maka ketika kita berpuasa, kemudian kita berasa sangat haus dan dahaga dan tersedia di depan kita segala macam minuman, tetapi kita menahannya, inilah sebenarnya satu bentuk latihan untuk menyedari tentang kehadiran atau kewujudan Tuhan dalam hidup kita.
Kita tidak akan minum padahal kita bersendirian, kerana kita meyakini bahawa Allah mengawasi dan menuntut satu pertanggungjawaban. Puasa adalah latihan untuk menguatkan lagi kesedaran kita bahawa Allah itu sentiasa berada terlalu hampir dengan kita.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Dia bersamamu di mana pun kamu berada. Dan Allah Maha Mengetahui tentang segala sesuatu yang engkau kerjakan.” (Q 57:4).
Sayyid Quthb pernah berkata, “Puasa adalah ladang tempat terciptanya niat kepada Tuhan yang sempurna dan kepasrahan diri.” Sifat perhambaan ini akan membuat manusia menjadi abdi Allah, yang bersedia untuk melakukan apa sahaja yang disenangi Allah. Melalui puasa seseorang akan merasakan penderitaan orang yang lapar kerana serba kekurangan sehingga hatinya akan tergerak untuk memberi kelebihan yang dimilikinya kepada orang lain yang kurang bernasib baik.
Sepintas lalu amalan-amalan seperti ini amat berat tetapi ia bukan terletak pada sesuatu amalan melainkan pada cara kita memikirkan amalan itu. Kalau kita memikirkan sesuatu itu berat maka ia dengan sendirinya menjadi berat, tetapi kalau kita memikirkannya mudah maka dengan sendirinya ia akan mudah. – https://www.utusan.com.my
KOMEN