Saban tahun apabila menjelang bulan Muharram, sudah tentu umat Islam akan mengingati tarikh 10
Muharam dengan pelbagai amalan dan ibadah yang dilakukan. Apakah keistimewaan dan kelebihan
yang ada pada hari ke 10 dalam bulan Muharam?
SALAH SATU BULAN YANG DIHARAMKAN OLEH ALLAH
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa. [Surah At – Taubah : 36]
Bulan Muharam membawa maksud “Bulan Terlarang” dalam kalangan orang Arab, dan dianggap suci dalam kalendar mereka. Pada bulan tersebut juga, orang Arab dilarang melakukan sebarang peperangan, pembunuhan dan kekasaran.
Kemuliaan Ramadan ada pada malam Lailatul Qadarnya, kemuliaan bulan Zulhijah pada Hari Arafahnya. Begitu juga bulan Muharam, kemuliaannya ada pada Hari Asyura. Imam As-Sayuti mengatakan pada zaman jahiliah tidak disebut bulan Muharam, ia disebut Safar Awal dan selepas itu Safar Thani. Apabila datangnya Islam, Allah menamakan Muharam dan dinamakan sebagai ‘Bulan Allah’.
KELEBIHAN 10 MUHARAM
Terdapat banyak kelebihan dan fadhilat pada 10 Muharam berdasarkan nas dan hadis yang sahih.
Kata Ibn Abbas apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata :
Maksudnya : Aku tidak pernah melihat Rasulullah mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari hari yang lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura. [HR Bukhari 2006].
Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: Ini menunjukkan bahawa puasa ‘Asyura lebih afdhal berbanding hari-hari lain untuk berpuasa selepas Ramadan. Zahir hadis Muslim pula menunjukkan bahawa puasa pada Hari ‘Arafah lebih afdhal berbanding puasa pada Hari ‘Asyura. Dikatakan hikmahnya adalah kerana Puasa ‘Asyura dinisbahkan kepada Musa AS manakala Puasa ‘Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad. Oleh yang demikian, Puasa ‘Arafah lebih afdhal. [Fath Al-Bari. Dar Al-Salam, 4/315].
Pada hari itu juga Nabi Musa AS diselamatkan manakala Firaun dan pengikutnya ditenggelamkan. Dari Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata:
Maksudnya : Rasulullah tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka : Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Musa AS berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah : Aku lebih utama ke atas Musa AS berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut. [HR Bukhari 3397]
KEUTAMAAN PUASA PADA BULAN MUHARAM
Imam As-Suyuti dalam Syarah As-Suyuti ‘Ala Sahih Muslim mengatakan, keutamaan puasa pada bulan Muharam setiap tahun amat digalakkan kerana puasa ialah sebaik-sebaik amalan seperti mana sebaik-baik solat selepas fardu, solat malam.
Sabda Rasulullah;
Maksudnya: “Sebaik-baik puasa setelah Ramadan adalah puasa di bulan Allah, bulan Muharram.” [HR Muslim 1163]
Maksudnya: Ibnu Abbas bercerita di awal keberadaan Nabi SAW di Madinah, beliau menemukan kebiasaan warga Yahudi yang berpuasa pada tanggal 10 Muharram / Asyura. Beliau bertanya: Apa keutamaan hari ini? Mereka menjawab: ini hari bersejarah bagi kami. Pada hari ini Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa AS dari Fir’aun. Nabi Musa AS berpuasa pada hari ini. Mendengar jawapan itu beliau bersabda: saya lebih berhak untuk menghormati Musa AS daripada kalian. Maka Rasulullah SAW berpuasa dan mengajak umat untuk berpuasa. [HR Muslim 1130]
Orang Yahudi puasa 10 Muharam kerana ingin meraikan Nabi Musa yang bebas dari Firaun. Sebab Nabi Muhammad menyebut “Aku lebih layak ke atas Musa daripada kamu” adalah :
Profesion Nabi Muhammad dan Nabi Musa sama. Kedua-duanya Nabi dan pengembala kambing.
Nabi Musa yang menasihati Nabi Muhammad untuk mengurangkan solat dari 50 kepada 5 dalam peristiwa Israk Mikraj.
KELEBIHAN PUASA PADA 10 MUHARRAM
Bagi mereka yang mencari keampunan Allah maka ganjaran yang dijanjikan ialah diampunkan dosa setahun yang lalu.
Dari Abu Qatadah : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah tentang puasa ‘Asyura, Baginda menjawab:
Maksudnya : Aku berharap ke atas Allah agar dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu. [HR Muslim 1162]
Terbuktilah bahawa amalan berpuasa pada Hari ‘Asyura’ atau 10 Muharam merupakan sunnah Nabi.
Bersama-samalah kita mencari keberkatan dengan berpuasa sunat bukan sahaja pada 10 Muharam tetapi dianjurkan juga berpuasa pada 9 Muharram berdasarkan hadis:
Maksudnya : Ketika Rasulullah berpuasa pada Hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! ‘Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Maka baginda bersabda: Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada Hari Tasu’a (hari ke-9 di bulan Muharam).
(Berkata Ibn Abbas : Belum tiba tahun hadapan, Rasulullah telah wafat”. [HR Muslim 1916]
CARA BERPUASA PADA 10 MUHARAM
Disunatkan untuk berpuasa pada 10 Muharam seperti yang terdapat di dalam hadis. Kata Imam Syafie, disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharam kerana Rasulullah SAW berniat untuk berpuasa pada tahun yang akan datang dengan berpuasa 9 dan 10 Muharam.
Dibenarkan berpuasa bagi mereka yang ingin puasa pada 10 Muharam sahaja. Yang paling baik adalah 9 dan 10 Muharam. Ini kerana kata Imam Nawawi, puasa pada 9 Muharam adalah untuk membezakan puasa orang Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharam. — AlHijrah Online
Penulis ialah Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan
– ALHIJRAH ONLINE
KOMEN