KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih mempunyai dana dan mampu memberi pinjaman kepada generasi baru walaupun berdepan kekangan kewangan akibat tunggakan peminjam lama.
Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, kemampuan institusi itu berbuat demikian berdasarkan sumber daripada institusi kewangan sedia ada.
“20% daripada 1.8 juta peminjam tidak membuat bayaran langsung walaupun 1 sen selepas tamat belajar sehingga sekarang kita tidak tahu di mana mereka, ini menimbulkan sedikit cabaran.
“Bagaimanapun, ini tidak menjadi masalah untuk kita beri pinjaman kepada generasi akan datang, dari segi kemampuan kita masih ada untuk pastikan kita boleh beri pinjam,” katanya ketika bicara khas “Sayangi Generasiku” di RTM.
Wan Saiful menjelaskan 20% daripada 1.8 juta peminjam tidak mambuat bayaran langsung itu melibatkan 353,000 orang.
“1.8 juta peminjam patut sudah bayar sekarang, daripada jumlah itu 47% mereka bayar dengan baik secara konsisten, 33% tidak konsisten dan 20% tidak membuat bayaran langsung.
“20% atau 353,000 peminjam tidak membuat bayaran langsung satu jumlah yang besar, sekarang ini fokus kita dan kepincangan berlaku disebabkan model operasi yang digunakan kerana daripada awal PTPTN dijadikan sebagai agenda untuk capai agenda politik dalam membantu masyarakat dan semua pemohon diberi untuk meminjam,” katanya.
Wan Saiful turut merayu kepada peminjam yang tidak pernah membuat bayaran balik supaya tampil berbuat demikian mengikut kemampuan.
“Saya rayu kepada peminjam, kalau ada peminjam yang tak lapor diri, datanglah bayar walau sedikit, untuk generasi akan datang mungkin anak-anak kita sendiri,” katanya.
Wan Saiful turut menolak dakwaan kononnya kerajaan Pakatan Harapan pernah berjanji menghapuskan PTPTN semasa kempen pilihan raya umum lalu.
“Kita tak pernah kata dimansuhkan PTPTN,” katanya.
Mengulas cadangan pengecualian bayaran balik kepada peminjam yang gagal mendapat kerja selepas tamat belajar, Wan Saiful berkata tempoh 12 bulan yang diberikan memadai untuk mendapatkan kerja.
“Yang tidak ada kerja, kita ada dasar, 12 bulan pertama lepas tamat belajar tidak payah bayar, harap sempat cari kerja.
“Yang kita tidak mahu, pinjam tapi hilangkan diri, datang bincang dengan pegawai PTPTN jika ada masalah lebih 12 bulan tidak ada kerja,” katanya sambil memaklumkan cadangan bayaran balik melalui sistem potongan gaji sebelum ini diluluskan jemaah Kabinet bukannya dibuat tanpa sebarang perbincangan.
Terbaharu, PTPTN memerlukan tempoh 6 bulan untuk menyiapkan draf pembayaran balik pinjaman tabung berkenaan sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.
Pada Mac 2017 ketika pentadbiran Barisan Nasional, seramai 663,000 peminjam tidak pernah membayar PTPTN walaupun sesen. – FreeMalaysiaToday
KOMEN