BANGI – Kenyataan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung kemampuan memberi pulangan hibah lebih baik untuk tahun ini membuktikan proses pemulihan agensi itu berada di landasan tepat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata proses pemulihan TH sudah menunjukkan hasil memberangsangkan berdasarkan prestasi agensi terbabit pada suku pertama tahun ini.
“Apabila kita membuat pemulihan (TH) dan sebagainya, kita berada di landasan tepat, malah mencatatkan sedikit keuntungan pada suku pertama dan kita akan dedahkan (setiap prestasi) kepada orang ramai.
“Sebab itu pengurusan TH boleh membuat kenyataan menjangkakan mampu memberi pulangan hibah lebih tinggi berbanding sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran Simposium Pendakwah dan Pelantikan Duta Rahmah di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini, pada 28 Mei.
Mujahid berkata, keyakinan pelabur dan pendeposit yang semakin meningkat berupaya membawa semula kegemilangan TH sehingga mampu memberi pulangan hibah tinggi seperti dulu.
“Kita tidak boleh beri jaminan berkaitan hibah kerana ia bergantung kepada syarat tertentu berdasarkan Akta Lembaga Tabung Haji yang menyata TH perlu menjana keuntungan dan aset tidak boleh rendah berbanding tanggungan.
“Seperti tahun lalu, kita memperuntukkan RM913 juta pada kadar 1.25 peratus untuk pulangan hibah kerana itu kemampuan yang kita ada,” katanya.
Semalam, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, berkata TH mampu memberi pulangan hibah yang lebih baik untuk tahun ini berbanding kadar 1.25 peratus diberikan kepada pendeposit tahun lalu.
Ia bersandarkan prestasi suku pertama pengurus dana haji itu yang memberangsangkan dan suku kedua yang dijangka lebih baik.
Katanya, pendapatan TH dijangka terus meningkat mulai suku kedua dengan penerbitan sukuk oleh syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang akan memberi pulangan hampir RM800 juta setahun yang dijangka diterbitkan sebelum akhir bulan ini. – Berita Harian
KOMEN