PROGRAM U-Need Sukarelawan YADIM meneruskan siri jelajahnya ke bumi Sarawak. Lokasi program kali ini ialah di Sri Aman pada 14 Februari serta Debak dan Saratok pada 15 Februari.
Seperti sebelum ini, pertemuan dengan anggota SAY di kawasan ini menyentuh mengenai program yang bakal diadakan pada Ramadan tidak lama lagi. Antara yang dicadangkan ialah majlis iftar dan pengisian al Kahfi, street dakwah, gotong royong menyediakan bubur lambuk, ziarah kasih Ramadan serta menyantuni rumah warga emas.
Turut dicadangkan ialah penyampaian kerusi roda kepada pesakit terlantar serta penyampaian buku sekolah yang di sumbangkan oleh pejabat YADIM Negeri Sarawak.
Di Debak, mereka turut menziarahi Encik Kipli Kamal, ahli pasukan SAY yang aktif sebelum ini, namun kini tidak dapat berjalan akibat kecederaan di lutut. YADIM Negeri Sarawak telah menyampaikan sumbangan lampin pakai buang dan wang tunai untuk kemudahan beliau.
Secara keseluruhan, jelajah di tiga lokasi ini menghimpunkan seramai 57 anggota SAY termasuk kepimpinan yang baharu dilantik.
Mereka turut mengenalpasti rakan-rakan strategik SAY di Sarawak yang boleh dijalin kerjasama bersama, untuk melestari gerakan dakwah bagi manfaat masyarakat seperti Unit Saudara Kita Majlis Islam Sarawak, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak, rakan badan bukan kerajaan HIKMAH serta pejabat-pejabat wakil rakyat.
Inisiatif jelajah ini akan diteruskan lagi selepas ini ke beberapa lokasi lain seperti Kapit dan Mukah.
Turun padang dalam jelajah ini ialah kakitangan Bahagian Khidmat Bakti YADIM iaitu Penolong Pengarahnya, Encik Abdul Qaiyum Aris dan Encik Mohd Noor Faiz Rahmat serta daripada pejabat YADIM Negeri Sarawak, Encik Mohd Subri Rafa-ee dan Encik Afsan Mohamad.
KOMEN