KUALA LUMPUR – Dua tan buah durian, 50,000 cucuk sate dan 70 ekor kambing golek antara juadah menanti pengunjung Program Street Raya anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Dataran Merdeka hari ini.
Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata program berkenaan menghimpunkan 75 masjid dan 10 surau dari seluruh Wilayah Persekutuan termasuk dari Putrajaya dan Labuan.
“Penganjuran ini juga menyaksikan kita bekerjasama dengan rakan strategik seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Polis Diraja Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Tambah Mohd Ajib, program berkenaan bertujuan menyantuni anak-anak kariah, mengeratkan silaturahim semua masyarakat berbilang kaum dan agama serta lapisan masyarakat selain membawa mesej Program Masjid RAHMAH iaitu singkatan kepada Ramah-Aman-Harmoni-Mesra-Alami dan Hormat.
“Pada masa sama, Street Raya ini akan menjadi platform kita mengangkat institusi masjid dengan cara memperkenalkan pelbagai program masjid dan surau yang telah memberi impak kepada pembangunan ummah serta masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, program selama empat jam bermula 2 petang itu akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
“Orang ramai dijemput hadir memeriahkan majlis ini, pelbagai hidangan disediakan termasuk 200 ekor ayam pusing, 6,000 bungkus nasi arab, nasi lemak, nasi beriani, 7,000 bungkusan pelbagai makanan selain nasi seperti mi kari, char kuey teow, roti canai, murtabak, 2,500 ketul ayam KFC, 2,500 keping Pizza Hut, 1,000 hidangan Ayamas dan banyak lagi.
“Bagi memastikan tiada pembaziran oleh pengunjung ketika menikmati hidangan disediakan, kita akan menjalankan kempen ‘elakkan pembaziran’ sepanjang program berlangsung,” katanya – Bernama
KOMEN