KOTA BHARU – Sesuai dengan usaha dan pendekatan dakwah yang pelbagai, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan pada 25 April telah melaksanakan program pengurusan jenazah kepada ahli ahli Aspirasi di sini.
Seramai 18 orang ahli badan bukan kerajaan berkenaan menyertai program itu yang diadakan di Dewan Syarahan YADIM di sini. Ia dikendalikan oleh wakil daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Mohd Kashuadi Abd Ghani.
Hadir sama ialah Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz yang turut menyempurnakan perasmian penutup serta menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta, serta Penolong Pengarah YADIM Kelantan, Ustazah Yusnita Muhamed Yusoff.
Dalam ucapannya, Nik Omar menerangkan tentang operasi dan gerak kerja dakwah YADIM serta peranannya dalam menyantuni masyarakat.
Yusnita pula semasa memberikan aluan kepada hadirin berkata, program ini adalah yang pertama seumpamanya oleh pihaknya, dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang selain ditambah baik.
“Objektif program ini adalah untuk menyantuni golongan yang tersisih, menyayangi dan mendekati agar mereka tidak merasa dipinggirkan serta terasing,” jelasnya.
Program ini yang dinamakan Masih Ada Yang Sayang : Sebati (Sejenak Bersama Anda Yang Teristimewa) berlangsung selama dua jam bermula jam 2.30 petang. Para peserta didedahkan tentang pengurusan jenazah Muslim selain diadakan sesi soal jawab.
Aspirasi merupakan badan bukan kerajaan yang banyak terlibat menyantuni golongan Mak Nyah di negeri ini.
KOMEN