Home » Langit Terbuka » Program pemulihan akidah ahli GISBH disusun sistematik, ambil kira jika ada gagal dipulihkan

Program pemulihan akidah ahli GISBH disusun sistematik, ambil kira jika ada gagal dipulihkan

DR Zulkifli ketika di Dialog Perpaduan Malaysia MADANI 2024, di Johor Bahru. - Foto : YADIM

JOHOR BAHRU: Program pemulihan akidah bagi ahli GISB Holdings (GISBH) yang dirangka mengambil kira semua aspek termasuk jika ada ahli tegar yang tidak dapat dipulihkan.

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata program pemulihan akidah itu dilaksanakan mengikut pelan yang diatur dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

 

“Setakat ini program pemulihan berterusan dan akan dilaksanakan secara sistematik dan teliti oleh semua pihak.

 

“JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) ambil peranan itu dengan semua Jabatan Agama Islam Negeri.

 

“Pelan pemulihan akidah ini sudah pasti telah ambil kira semua aspek, kita akan laksanakan dan akan tambah baik dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Dialog Perpaduan Malaysia MADANI 2024 di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan susulan kerajaan sekiranya ada ahli tegar GISBH tidak berjaya dipulihkan walaupun program pemulihan akidah telah disediakan sekali gus menimbulkan kebimbangan ajaran sesat itu dihidupkan kembali.

 

Ditanya jumlah bekas ahli GISBH yang sukarela hadir ke program pemulihan akidah dan sudah pulih, beliau berkata ia perlu dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan.

 

“Apa yang dimaklumkan dalam Parlimen dan dijawab oleh menteri, itulah terkini yang dikongsikan mengenai isu GISBH.

 

“(Jumlah bekas ahli GISBH pulih) perlu rujuk pihak berkuasa, perlu disemak dan teliti,” katanya.

 

Pada 14 November lalu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran agama Islam.

 

Pengerusinya, Datuk Nooh Gadut dilaporkan berkata, mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu, yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh penyelidik mengenai GISBH.

 

 

Sementara itu, mengenai program dialog anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Johor dan WADAH Johor itu, Zulkifli berkata, ia adalah usaha baik dalam mengeratkan dan meningkatkan kefahaman serta saling mengenali antara pelbagai agama bagi mengukuhkan perpaduan di Malaysia.

 

“Kita akan mendengar perspektif dalam pelbagai agama untuk melihat Malaysia yang lebih bersatu padu.

 

“Seiring dengan hasrat Malaysia MADANI, kita menyahut seruan itu untuk membina kefahaman yang lebih baik ke arah Malaysia yang bersatu padu dan gemilang,” katanya.

 

Menurutnya, dengan penyertaan kira-kira 200 peserta pelbagai agama dan bangsa, ia membuktikan rakyat Malaysia boleh bersatu padu dan berhasrat meneruskan kerjasama murni itu bagi menggerakkan program dialog ke seluruh negara.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *