KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini memperkenalkan logo dan slogan bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijenamakan sebagai program Khaira bagi mendekatkan hubungan antara pembayar zakat dan golongan asnaf di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata perkataan Khaira yang membawa maksud kebaikan dan slogan ‘Sebarkan Kebaikan’ dipilih supaya masyarakat dan syarikat korporat dapat berkongsi kebaikan menerusi bayaran zakat dan membantu golongan memerlukan keluar daripada garis kemiskinan.
“Selain kutipan zakat, PPZ-MAIWP membenarkan syarikat korporat yang membayar zakat dengan MAIWP mengagihkan wang itu kepada masyarakat atas nama wakalah menerusi program Khaira atau kerjasama dengan program CSR mereka sendiri.
“Jadi sebahagian besar dana program adalah wang wakalah pembayar zakat MAIWP serta hasil strategik rakan korporat. Ini supaya lebih ramai masyarakat menunaikan zakat sekali gus kitaran antara pembayar zakat dan golongan asnaf dapat diseimbangkan,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, walaupun kutipan zakat dibuat oleh PPZ-MAIWP dan agihan dibuat oleh Baitulmal MAIWP, PPZ-MAIWP turut diperkasa bagi menyebarkan kebaikan kepada masyarakat.
Selain pelancaran logo, PPZ-MAIWP menyumbang RM8,700 berupa barang-barang basah dengan kerjasama syarikat Mosafer iaitu produk pes bernama Maznah sebagai bekalan makanan selama dua bulan kepada Rumah Perlindungan Nur Qaseh Taman Melawati.
Rumah kebajikan anak yatim itu turut diraikan dengan aktiviti ‘Food for Us’ serta segmen pendidikan dan aktiviti gotong-royong bersama Badan Kebajikan Kakitangan PPZ-MAIWP (BAKEP).
Sejak program Khaira bermula pada 1 April lepas, 36 aktiviti diadakan sama ada oleh PPZ-MAIWP atau kerjasama strategik bersama syarikat korporat bagi mengetengahkan peranan institusi zakat dalam memberikan manfaat kepada golongan memerlukan dengan kolaborasi badan-badan korporat.
Program Khaira juga akan diperluas dengan beberapa penjenamaan khusus antaranya Khaira Care, Khaira Mindset, Khaira Run, Khaira Preneur dan Sahabat Khaira sebagai satu usaha untuk meningkatkan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Ahmad Shukri berkata, PPZ-MAIWP juga berada pada landasan terbaik untuk mencapai kutipan zakat RM710 juta yang membabitkan 190,000 pembayar zakat tahun ini, berbanding RM651.22 juta tahun lepas. – Bernama
KOMEN