KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah mengeluarkan sumbangan di bawah program Foodbank 1.0 kepada kira-kira 200,000 masyarakat B40 di seluruh negara.
Pemangku Ketua Pengarahnya, Parihah Hasan berkata, jumlah itu melibatkan perbelanjaan kira-kira RM80,000 sejak program berkenaan diperkenalkan pada Ogos lalu.
Kata beliau, banyak lagi program dilaksanakan YaPEIM menerusi tiga teras utamanya iaitu Bisnes, Sosial Bisnes dan Pembangunan Sosial Ekonomi dan Amal Jariah.
Menurutnya, sumber pendapatan dari tiga teras itu dimasukkan dalam YaPEIM Am iaitu akaun khas pentadbiran dan operasi untuk digunakan bagi pelaksanaan memberi bantuan kepada golongan sasar menerusi Program Foodbank 1.0.
“Bagi sumbangan dari masyarakat pula akan dimasukkan dalam Tabung Amanah YaPEIM yang diurus mengikut polisi serta dasar yang kita ada.
“Seperti hari ini, Program Foodbank YaPEIM 1.0 ini adalah inisiatif kita yang baharu, yang kita mulakan pada Ogos lalu dengan peruntukan sebanyak RM4 juta.
“Untuk melaksanakan program ini, kita akan santuni masyarakat di kalangan B40 dan pelajar universiti atau pelajar IPT dari kalangan keluarga B40,” katanya pada sidang media khas mengenai Program Foodbank YaPEIM !.0 di pejabatnya hari ini (24 September).
Beliau menjelaskan, bagi pelajar IPT, pihaknya menumpukan kepada program Ready to Eat Food, manakala keluarga mereka pula diberikan bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian.
Ketika ini, kata Parihah, sebanyak 10 Pusat Pentadiran YaPEIM negeri telah melaksanakan program itu serentak dengan kerjasama beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Katanya lagi, pihak memilih kumpulan B40 kerana keperluan makanan sangat penting kepada kehidupan mereka dan anak mereka yang melanjutkan pelajaran di universiti.
“Mereka ini diletakkan dalam kategori penerima manfaat YAPEIM bawah program Sinar Kasih YaPEIM. Program ini kita wujudkan untuk membantu anak-anak dari ketua keluarga mereka yang meninggal akibat bencana dan kemalangan. Kita santuni mereka dengan bantuan RM200 sebulan selama setahun.
“Ini kita dapat maklumat dari media dan sebagainya termasuk kalau ada laporan dari orang ramai, jika ada kemalangan, YaPEIM tekad beri bantuan segera kepada pihak terlibat,” katanya.
Selain itu, kata Parihah, kumpulan asnaf bawah jabatan agama Islam negeri dan pusat zakat juga termasuk keluarga kurang kemampuan seperti pelajar IPT dan IPTS seluruh negara yang menerima manfaat ini.
Ujar beliau, pihaknya kini telah mengenal pasti kira-kira 100,000 lagi penerima yang akan disantuni untuk menerima sumbangan dan bantuan menerusi Program Foodbank 1.0.
YaPEIM juga telah melaksanakan program itu di Kelantan dan Kuantan menerusi Ziarah Kasih Rahmah dengan memberikan sumbangan Dry Food kepada kira-kira 600 keluarga.
Beliau turut menjelaskan, Program Foodbank itu juga tertumpu kepada pelajar di Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) kerana 80 peratus pelajarnya adalah golongan asnaf.
YaPEIM juga santuni golongan sasar menerusi program Ready to Eat Food di surau sekitar Petrajaya, Kuching dengan 200 penerima, pelajar di Politeknik Seberang Prai, Pulau Pinang, di UiTM Seberang Prai (Dry Food) serta Masjid Jamek Alor Jawi, Kedah. – MalaysiaGazette
KOMEN