SEGAMAT – Pemilik ladang ternakan kambing, Osman Goat Farm dari Kangkar Tebrau, Johor Bahru yang terkenal menjual kambing akikah pada harga RM1 bercadang memperluaskan usaha murninya ke seluruh negara pada masa akan datang.
Pengarah Urusannya, Osman Cheya Kutty berkata, selepas program akikah RM1 ini mula dilaksanakan pada 2013, banyak pihak tampil memintanya supaya diadakan di negeri-negeri lain selain Johor.
“Sehingga kini, program yang merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) saya ini hanya terhad untuk rakyat Johor yang beragama Islam yang melahirkan anak pada 12 Rabiulawal sama ada di hospital kerajaan atau swasta.
“Doakan agar rezeki saya bertambah kerana saya berhajat untuk memperluaskan program akikah RM1 ini ke seluruh negara dalam membantu golongan kurang berkemampuan dan membantu meringankan beban ibu bapa yang ingin melakukan ibadah berkenaan,” katanya selepas merasmikan Majlis Akikah Perdana RM1 Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Nurkasih Pemanis anjuran bersama Osman Goat Farm bersama Parlimen Sekijang di Masjid Felda Redong, semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap; Pengerusi PDK Nurkasih, Zaleha Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT), Dr Khalid Jusoh
Menurutnya, program ini juga merupakan salah satu cara dia berterima kasih kepada masyarakat dan jabatan kerajaan terutama jabatan veterinar yang menyokong perniagaannya sejak 1990.
Sementara itu, bagi Norhidayu Abu Samah, 28, dia dan suaminya, Mohd Hazwan Abdul Halim, 31, bersyukur kerana anak kedua mereka, Mohamad Harith Ilham terpilih menerima kambing akikah RM1.
Menurutnya, dia hanya mengetahui program akikah RM1 sewaktu menerima kunjungan wakil PDK Nurkasih di Hospital Segamat.
“Sebelum ini saya secara peribadi tidak pernah tahu akikah RM1 ini dan membuat keputusan untuk menyertainya kerana bagi kami, ini peluang keemasan dan rezeki anak kami yang dilahirkan pada 12 Rabiulawal.
“Saya harap usaha murni ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan kami juga memuji inisiatif pemilik Osman Goat Farm kerana tidak dinafikan tidak semua mampu buat akikah,” katanya.
Bagi Normaisarah Idris, 35, yang berasal dari Perak juga terkejut apabila diberitahu mengenai akikah RM1 ini dan selepas berbincang dengan suaminya, Zayid Abdul Ghani, 39, mereka bersetuju untuk menyertai program akikah ini.
Katanya, dia juga menganggap akikah RM1 ini sebagai rezeki anak kelimanya, Amirul Afiq selain mengakui program ini merupakan amal jariah yang sewajarnya dicontohi usahawan Islam lain.
“Hari ini (semalam), saya hanya bayar RM2 kerana anak saya lelaki dan memerlukan dua ekor kambing untuk akikah dan jika tiada program ini, kos yang terpaksa dikeluarkan oleh saya mungkin akan berlipat kali ganda,” katanya.
Pada majlis itu, enam bayi yang dilahirkan pada 12 Rabiulawal 1439 Hijrah atau 1 Disember 2017 di Hospital Segamat diraikan dalam program Akikah Perdana RM1. – SINAR HARIAN
KOMEN