PUTRAJAYA, 4 Sept – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menasihatkan pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai untuk menghentikan segala jenis kempen yang menyentuh sentimen keagamaan dan perkauman.
Selaku badan yang diberi amanah dalam menjaga dan memelihara kesucian agama Islam di negara ini, katanya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat khuatir dengan tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan kenyataan bersifat menghukum pihak yang tidak sealiran fahaman dengan kumpulan masing-masing.
“Situasi ini akan mencetuskan bibit-bibit perpecahan yang lebih serius dan mengancam keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini susulan kenyataan seorang pemimpin politik yang menyatakan hukum haram memberikan undi kepada seorang calon yang bertanding di PRK berkenaan.
“Perkara ini boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat dan mencemar kesucian ajaran Islam,” katanya yang juga bimbang terhadap kecenderungan pihak yang mengeluarkan hukum berkaitan syarak dengan sewenang-wenangnya tanpa disiplin yang sepatutnya.
Menurut laporan media, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan menyatakan haram hukumnya bagi mereka yang mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat pada PRK Parlimen Pulai.
Mohd Na’im berkata istilah haram jika mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka boleh didefinasikan kepada enam maksud iaitu hukum tegahan (dalam Islam); ditegah; tidak boleh dikerjakan hal-hal yang tidak menentu; sungguh-sungguh; sedikit pun dan tidak ada.
“Bagaimanapun masyarakat negara ini mengaitkan penggunaan istilah haram dengan hukum syarak iaitu hukum tegahan (dalam Islam) yang dijanjikan ganjaran pahala bagi orang yang mematuhinya dan dosa bagi orang yang mengingkarinya,” katanya.
“Saya dengan ini ingin menyeru semua pihak agar bertanggungjawab untuk menghormati kesucian agama Islam, menjaga perpaduan dan keamanan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam negara yang tercinta ini,” katanya.
PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 5 Sept dan hari mengundi pada 9 Sept ini. – BERNAMA
KOMEN