Home » Muamalah » Prinsip ekonomi dalam Islam

Prinsip ekonomi dalam Islam

Landasan Utama

Harta yang baik menjadi landasan dalam kehidupan masyarakat yang perlu dipelihara. Dengan kata lain, harta merupakan tunjang dalam kehidupan masyarakat dan negara sedangkan ekonomi merupakan salah satu daripada landasan utama tegaknya sesebuah negara itu. Sistem ekonomi juga ditegakkan meliputi segala jenis perusahaan besar, kecil dan sederhana. Oleh itu, ekonomi dapat memainkan peranan penting secara berkesan untuk pertumbuhan yang integral sesebuah masyarakat dan negara itu. Dari prinsip Islam dan nilai-nilainya ekonomi dapat mempertingkatkan potensi sosial dan rohani masyarakat.

Harta Menjadi Tonggak Kehidupan

Dari itu, harta sering juga dikatakan sebagai tonggak bagi kehidupan sesebuah masyarakat dan negara. Keadaan itu harus dijaga, dipelihara dan dikekalkan. Sebaik-baik harta adalah harta yang dimiliki oleh orang baik-baik kerana mereka memperolehinya dengan cara yang halal. Harta harus diserahkan kepada mereka yang cukup akal dan berfikiran waras dan harta dijadikan Allah sebagai landasan utama dalam kehidupan. Oleh itu, mereka tidah harus menghambur-hamburkan harta mereka. Bagi mereka yang mati kerana membela dan mempertahankan harta mereka dikira syahid.

Memperkembangkan Kegiatan Sosial

Ekonomi dapat memperkembangkan kegiatan sosial. Dengan ekonomi yang mantap dapat dilakukan perubahan dan pembangunan yang pesat dalam sesebuah negara itu. Lagipun, dengan ekonomi juga dapat menjamin kestabilan politik dan mengekalkan kententeraman dan keamanan. Dari itu, Islam mempunyai beberapa prinsip ekonomi yang menjadi amalannya, sebagaimana yang berikut:

Mengharuskan Kerja Bagi Setiap Orang Yang Mampu

Mereka yang bekerja kerana Allah akan mendapat keberkatan daripada-Nya. Begitu juga, sebaik-baik makanan yang dimakan adalah daripada hasil titik peluh sendiri. Menurut Umar Ibni al-Khattab bahawa seseorang individu itu tidak harus duduk diam dan semata-mata berdoa tanpa berbuat sesuatu pekerjaan untuk mencari rezeki akan tidak memperolehi apa-apa jua oleh kerana langit tidak menurunkan emas dan perak. Bagaimanapun, adalah penting untuk mengharuskan bekerja bagi mereka yang mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

Memperolehi Sumber Kekayaan Alam

Sumber dan kekayaan alam harus diterokai dan diperolehi dan harus dimanfaatkan daripadanya. Banyak hasil bumi boleh diperolehi sekiranya manusia itu sedia berikhtiar untuk mencari dan menerokai sumber kekayaan alam. Usaha perlu dilakukan untuk mendapatkan sumber kekayaan alam dan memanfaatkan sepenuhnya. Manusia akan memperolehi segala nikmat anugerah Ilahi sekiranya mereka mengorak langkah untuk mencari rezeki dari langit dan bumi. Semuanya ini menunjukkan kebesaran Allah s.w.t. Masyarakat dan negara perlu memberi penumpuan kea rah melipat gandakan pengeluaran pertanian, ternakan dan pengeluaran industri yang memenuhi keperluan umum dan membangunkan negara sehingga mencapai tahap berdikari dan bebas dari penguasaan asing.

Mengharamkan Penghidupan Yang Mungkar

Islam memang mengharamkan segala bentuk mata pencarian yang tidak dilakukan secara halal. Kerja-kerja yang mungkar dalam mencari rezeki adalah dengan melakukan riba, undian, berjudi, menipu, mencuri dan melakukan kerja-kerja yang mendatangkan mudarat kepada diri manusia hasil daripada penjualan khinzir, ubat-ubatan yang terlarang dan lain-lain sumber pendapatan yang tidak dibenarkan oleh Islam.

Begitu juga, Islam mengharamkan sebarang bentuk pencarian yang mungkar. Kerajaan berhak merampas harta yang terbit daripada rompakan, rasuah, pengedaran dadah, pencurian, salah guna harta kerajaan dan sumber-sumber yang tidak halal. Segala kegiatan ekonomi yang mencemarkan alam sekitar atau memusnahkannya tanpa dapat dipulihkan semula adalah ditegah.

Pembaziran dan Pemborosan

Mencegah pembaziran dalam segala urusan ekonomi baik dalam bidang penggunaan, pelaburan, pengeluaran, pengagihan mahupun dalam sector perkhidmatan. Pemborosan dalam apa juga bentuk kegiatan dalam bidang perniagaan, pengurusan dan dalam melaksanakan urusan pembangunan hendaklah dielakkan sama sekali.

Merapatkan Jurang Antara Kelas Ekonomi Dalam Masyarakat

Islam sentiasa berusaha untuk merapatkan jurang perbezaan di kalangan kelompok sosial. Dari itu, Islam sentiasa mendekatkan antara mereka yang berada dengan mereka yang tidak berada dalam masyarakat. Dengan kata lain, tindakan sentiasa diambil untuk merapatkan jurang kelas ekonomi dengan membanteras kekayaan. Oleh itu, untuk menjamin kebebasan ekonomi, membanteras kemiskinan negara menyediakan kemudahan asas untuk mencapai pembangunan. Islam melarang penimbunan barangan dan mengambil langkah perlu untuk menghapuskan kemiskinan. Di samping itu, Islam amat menggalakkan kerja-kerja kebajikan, mencela sikap kikir dan sebagainya.

Menghormati Pemilikan Harta

Dalam pada itu, Islam menitikberatkan soal menghormati dan pemilikan harta asalkan tidak bertentangan dengan hokum syarak dan kepentingan umum. Pemilikan individu yang diperoleh secara halal tetap dihormati dalam Islam. Dari itu, semua orang Islam hendaklah menghormati golongan masyarakat lain dari segi harga diri dan harta mereka. Dengan kata lain, orang Islam harus menghormati pemilikan harta dalam kehidupan masyarakat.

Menguruskan Ekonomi dan Kewangan

Islam mensyariatkan pengaturan interaksi kewangan dalam batas peribadi dan masyarakat. Begitu juga, Islam menghormati semua perjanjian dan permuafakatan dan pengawasan yang ketat terhadap masalah dan penggunaan kewangan. Penggunaan emas dan perak sebagai komoditi adalah haram hukumnya tetapi penggunaannya sebagai mata wang adalah harus dilakukan.

Mewujudkan Iklim Sosial Yang Sihat

Sementara itu, Islam menetapkan jaminan sosial ke atas setiap warga negara. Umar Ibni al-Khattab r.a telah bertemu dengan seorang Yahudi dengan meminta-minta dan ia telah mengherdiknya lalu melarangnya daripada meminta-minta. Apabila ia mengetahui bahawa orang Yahudi itu memang hidup menderita, ia berasa menyesal dan mencela dirinya sendiri.

Ia mengatakan bahawa ia tidak berlaku adil terhadap diri Yahudi itu kerana ia membayar jizyah ketika sihat dan mengabdikannya ketika berada dalam keadaan lemah. Oleh itu, ia telah memerintahkan pegawainya agar memberi harta dari baitulmal yang secukupnya untuk kehidupannya. Islam memang menyebarkan jiwa cinta dan kasih sayang kepada semua orang dalam masyarakat.

Bertanggungjawab Dalam Memelihara Sistem Ekonomi

Negara bertanggungjawab dalam memelihara dan mengekalkan sistem ekonomi dengan menggunakan kekayaan rakyat dengan sebaik-baiknya. Dari itu, negara hendaklah memungut dan mengagihkan kekayaan dengan cara yang benar dan adil. Mengikut Umar Ibni al-Khattab, harta itu adalah hak milik Allah s.w.t. sedangkan manusia adalah hamba-Nya.

Kebebasan Memiliki Harta

Cita-cita untuk memiliki harta kekayaan dan kemewahan hidup merupakan hasrat semula jadi manusia. Perasaan ini memang wujud dalam lubuk hati sanubari manusia. Ini memberi kesan yang mendalam ke atas diri manusia untuk melakukan berbagai-bagai bentuk usaha sebagai kegiatan ekonomi untuk memenuhi keperluan hidup mereka. Daripada usaha dan kegiatan ekonomi itu merupakan pengeluaran hasil yang dapat dimanfaatkan oleh manusia untuk memenuhi hasrat hidup mereka. Selain itu, pengumpulan harta adalah sebagai hak yang dapat digunakan untuk keperluan lain bagi melengkapkan kehidupan.

Dalam Islam, hak memiliki harta bagi seseorang individu itu merupakan hak milik yang terikat. Seseorang individu yang memiliki harta kekayaan hasil daripada usahanya akan menggunakannya mengikut kehendaknya dalam lingkungan dan peraturan yang dibenarkan oleh undang-undang Islam. Dari itu, harta kekayaan yang ada dalam hak milik seseorang individu itu merupakan amanah daripada Allah yang wajib ditunaikan untuk dirinya sendiri dan juga masyarakat.

Hak Pemilikan Harta

Manusia mempunyai hak untuk memiliki harta benda yang dikumpulkannya secara halal. Islam mengakui kebebasan hak milik harta oleh individu. Islam menggalakkan memiliki harta sebanyak mungkin agar dapat menunaikan haji dan membayar zakat. Dengan erti kata yang lebih tepat lagi, pengumpulan harta kekayaan adalah digalakkan oleh Islam. Bagaimanapun, di akhirat kelak, manusia akan disoal tentang kaedah mereka memperolehi harta dan bagaimana mereka menggunakan harta itu. Pemilikan harta merupakan naluri semula jadi manusia. Harta kekayaan itu hendaklah dikumpulkan dengan cara halal dengan dibelanjakan untuk memberi faedah, kemakmuran, kebahagiaan dan kesejahteraan hidup manusia sejagat.

Kebebasan yang diberikan oleh Islam dengan sendirinya membolehkan individu memiliki punca-punca pengeluaran seperti modal, tanah, alat pengeluaran dan industri. Ia berhak memperolehi ganjaran dari usaha-usaha yang dilakukan mereka. Islam mementingkan soal keadilan dalam pembahagian harta. Bagi mereka yang bekerja keras, rajin dan berusaha, sihat dan cergas fikiran patut mendapat ganjaran yang lebih berbanding dengan mereka yang kurang bergerak cergas dan tidak bekerja kuat. Bagaimanapun, Islam memberi kebebasan berusaha dalam apa jua bidang yang sesuai berasaskan kemampuan untuk memperolehi pendapatan yang menjadi hak mereka yang berusaha gigih itu.

Hak negara ke atas harta individu melalui zakat dan percukaian akan menjadikan setiap Muslim bermurah hati dan menyedarkan mereka tentang kehendak masyarakat dan kemanusiaan. Dengan kesedaran itu, mereka akan bersedia menggunakan hartanya semata-mata kerana Allah s.w.t. Selain itu, Islam telah menetapkan kaedah umum dalam pengurusan ekonomi. Islam juga telah menetapkan nilai umum kepada hak pemilikan harta.

Dalam pada itu, Islam menetapkan segala kekayaan yang diperolehi oleh seseorang individu itu hanya diberikan sebagai amanah daripada Allah s.w.t. Manusia mencari dan menggunakan kekayaan tetapi tertakluk kepada peraturan dan disiplin keislaman. Mereka wajib mengeluarkan zakat ke atas harta kekayaan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan itu. Mereka tidak boleh menggunakan harta mereka untuk perkara-perkara kemungkaran.

Pemilikan Harta

Dalam menentukan hak milik individu, al-Quran menerangkan bahawa harta kekayaan seorang Muslim itu haram bagi Muslim yang lain melainkan setelah berlakunya pemindahan hak milik dengan cara yang ditetapkan oleh Islam. Dalam ayat yang lain, al-Quran dalam (Surah an-Nisa ayat 29) menerangkan larangan Allah terhadap perbuatan memakan dan mengambil harta orang lain dengan cara yang batil dan firman Allah yang bermaksud seperti di bawah ini:

“Wahai orang yang beriman janganlah kamu makan (ambil) harta di kalangan kamu dengan cara yang batil (tidak betul) melainkan hendaklah dengan jual beli yang dipersetujui antara kami.”

Semua ayat al-Quran yang menyentuh soal berhubung dengan ekonomi itu dianggap sebagai dasar umum. Sifatnya kekal dan dapat digunakan selama-lamanya, tidak terbatas kepada masa dan tempat. Mengusahakan tanah untuk tujuan bercucuk tanam setelah memperolehi kebenaran dan kelulusan daripada pihak kerajaan. Tanah itu akan menjadi hak miliknya.

Upah dan gaji yang diperoleh oleh seseorang individu hasil daripada pekerjaannya itu menjadi hak miliknya. Ia berhak menggunakannya mengikut kemahuannya berasaskan batas-batas yang dibenarkan oleh hukum syarak.

Pemindahan hak milik daripada seseorang individu itu dilakukan secara jual beli, pemberian hadiah dan sebagainya. Harta yang ditinggalkan oleh seseorang individu itu wajib dibahagi-bahagikan kepada waris-warisnya mengikut bahagian yang telah ditetapkan Allah melalui al-Quran. Pembahagian ini wajib ditunaikan mengikut apa yang telah ditentukan dan tidak kurang ataupun ditambah. Wasiat merupakan pesanan yang diwariskan oleh seseorang individu itu sebelum ia meninggal dunia supaya sebahagian daripada harta yang ditinggalkannya diberi kepada orang yang berkenaan.

Mengikut Islam, seseorang individu itu dibenarkan untuk mewasiatkan hartanya untuk sesiapa yang dikehendakinya sebanyak sari pertiga (1/3) sahaja daripada hartanya. Manakala, yang lain wajib dibahagikan mengikut hukum faraid yang telah ditetapkan dalam Islam. Peraturan ini bertujuan untuk menentukan bahawa harta peninggalan itu akan diterima oleh orang yang benar-benar berhak. Peraturan ini membayangkan dengan jelas taraf pemilikan hak harta benda bagi seseorang individu itu, dan ini merupakan hak milik pusaka dalam keadaan yang terkawal dan mengikut peraturan.

Setelah berlakunya pemindahan hak milik, harta yang dipindahkan itu dianggap sebagai milik peribadi dan hak milik yang sempurna bagi penerimanya. Pada masa itu, ia berhak mengagihkan dan menggunakan hartanya itu mengikut keperluan yang ditetapkan oleh syariat Islam.

Faktor Pengeluaran

Mengikut kaedah ekonomi moden, faktor-faktor pengeluaran adalah tanah, modal, pengurusan dan buruh. Faktor-faktor ini adalah bersesuaian dengan mereka yang berhasrat untuk memenuhi cita-cita mereka mencapai kekayaan. Bagaimanapun, faktor-faktor ini merupakan sebahagian daripada faktor asas yang ditegaskan dalam Islam. Islam mementingkan faktor bumi itu sendiri oleh kerana ia mengandungi kesemua faktor yang diperlukan untuk kegiatan ekonomi seperti tanah, bahan-bahan galian, gunung ganang, kayu-kayan, tumbuh-tumbuhan, binatang ternakan dan juga sumber air.

Semuanya itu merupakan faktor ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh manusia yang bertindak sebagai pengusaha dan buruh. Tujuan kegiatan ekonomi dalam Islam bukannya untuk mengumpulkan harta dan kekayaan sebanyak yang mungkin semata-mata tetapi perkara yang unggul adalah untuk memenuhi keperluan sekadar yang termampu dalam lingkungan yang dibenarkan sebagai hamba Allah diamanahkan untuk memakmurkan ala mini.

Sumber harta

Sumber harta yang ada di dunia ini merupakan hak milik Allah s.w.t. dan manusia merupakan pemegang amanah dan bertanggungjawab memelihara, menjaga dan menggunakannya. Di samping itu, ada pula golongan yang mengarakan bahawa sumber kegiatan ekonomi adalah diasaskan kepada kaedah dan dasar yang pernah dijalankan oleh para ulama dan mujtahid Islam dalam zaman kerajaan Islam yang silam. Semua yang ada disediakan untuk manusia adalah untuk kesejahteraan dan kebahagiaan hidup mereka. Kegiatan ekonomi itu hendaklah tidak bertentangan dengan dasar umum yang disarankan oleh al-Quran dan al-Sunnah.

Kaedah Penggunaan Harta

Harta yang dikumpulkan itu harus digunakan untuk menyara hidup keluarga secara sederhana. Orang Islam mesti mengeluarkan zakat dan bersedekah kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukannya. Pendapatan yang diperolehi itu juga hendaklah digunakan untuk amal jariah dan kebajikan hidup insane.

Harta juga dapat diagihkan melalui infaq dengan memberi nafkah atau sara hidup kepada anak isteri untuk memenuhi keperluan hidup mereka sama ada untuk makan, minum, pakaian, tempat perlindungan dan keperluan lain, sekadar yang termampu dipenuhi oleh ketua keluarga itu. Oleh itu, segala pengagihan harta yang tidak diluluskan oleh hukum syarak tidak dibenarkan seperti digunakan untuk berjudi, membina bangunan untuk melakukan perkara maksiat dan mungkar. Pengagihan dan penggunaan harta kekayaan harus bersifat menunaikan tanggungjawab yang diwajibkan untuk mendapatkan keredaan Allah s..w.t. semata-mata.

Jelasnya pengagihan harta merupakan sebahagian daripada cirri-ciri kebajikan dalam Islam yang terkandung dalam lima hukum Islam: wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Bagaimanapun, pengagihan harta tetap memperolehi pahala kebajikan daripada pelaksanaan tuntutan wajib dan galakan sunat. Sekiranya tuntutan itu tidak dilaksanakan atau pengagihan kepada perkara-perkara yang dilarang, ia adalah haram dan hukumnya berdosa.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *