ACEH 2 Feb. – Syarikat penerbangan, termasuk syarikat penerbangan kebangsaan Indonesia, Garuda, mula mematuhi arahan pihak berkuasa Aceh mewajibkan pramugari Islam memakai tudung.
Menurut laporan media Indonesia, tinjauan semalam, mendapati pramugari Garuda yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda Blangbintang, Aceh Besar, kelihatan bertudung.
Tidak banyak perbezaan pada pakaian seragam pramugari Garuda selain hanya menambah kain tudung yang selubung manakala baju dan kain masih sama, termasuk kain yang terbelah.
Tribun News melaporkan, Pengurus Besar Garuda di Banda Aceh, Sugiyono, berkata pihaknya mematuhi arahan pihak berkuasa Aceh Besar supaya pramugari Islam memakai tudung mulai semalam.
Semalam, media melaporkan Gabenor Aceh Besar, Mawardi Ali, menyatakan pramugari bukan Islam tidak diwajibkan memakai tudung namun pramugari Islam wajib memakai tudung ketika dalam penerbangan ke Aceh dan ketika berada di wilayah itu.
“Jika (pramugari Islam) gagal mematuhi arahan berkenaan, kami akan menegurnya. Jika kesalahan berulang, undang-undang syariah akan dilaksanakan terhadap mereka,” katanya.
Kerajaan Aceh yang mendapat kuasa autonomi pada 2001, mengedarkan surat mengenai arahan itu yang dialamatkan kepada syarikat penerbangan kebangsaan Indonesia, Garuda, serta beberapa syarikat tambang murah, termasuk syarikat dari Malaysia, AirAsia dan Firefly.
Sementara itu, Air Asia dan Firefly dilaporkan hanya menggunakan pramugara dan pramugari bukan Islam untuk penerbangan ke Aceh. – AGENSI
KOMEN