Sewaktu saya hamil anak pertama, saya tidak pernah langsung tahu tentang istilah pra-eklampsia mahupun eklampsia. Sehinggalah saya mengalami sakit kepala yang luar biasa sehingga tidak boleh tidur, muka sembab dan kaki bengkak seperti orang sudah cukup bulan untuk bersalin.
Di kebanyakan tempat serata dunia, praeklampsia atau penyakit tekanan darah tinggi ketika hamil atau sawan ibu mengandung ini menjadi punca kematian ibu hamil. Praeklampsia berlaku di kalangan lebih kurang 5 hingga 10 peratus daripada keseluruhan ibu hamil. Ia merupakan sejenis komplikasi dalam kehamilan yang boleh menjejaskan ibu dan bayi.
Di Malaysia, praeklampsia ini dikatakan merupakan punca kedua kematian ibu-ibu hamil selepas pendarahan postpartum. Pendarahan postpartum ialah pendarahan dari saluran pembiakan yang berlaku selepas kelahiran (tumpah darah). Ia boleh menyebabkan hipotensi (tekanan darah rendah) atau renjatan.
Merujuk kepada doktor yang merawat saya, praeklampsia ini tidak dapat dijangka. Ia diibaratkan dalam bahasa mudah seperti pembawakan ketika hamil. Penyebabnya bukan kerana seseorang itu merupakan penghidap tekanan darah tinggi. Ia berlaku ketika hamil sahaja.
Simptom-simptom yang saya alami pada masa itu, saya kira itu adalah simptom biasa. Apabila saya merujuk kepada doktor sakit puan di sebuah klinik, beliau mengatakan mungkin saya mengalami tekanan dek memandu jauh dari Bangi ke Kuala Lumpur setiap hari. Dia kemudiannya memberikan saya cuti rehat selama seminggu. Ketika itu, kandungan saya baru mencecah 26 minggu.
Saya pun mula berehat di rumah. Selepas tiga hari pertemuan saya dengan doktor tersebut, iaitu pada hari Isnin, saya mula berasa tidak sedap hati. Lalu saya mula membuat carian dalam Google mengenai simptom-simptom yang sedang saya alami. Agak panik juga sebab semua simptom itu menjurus kepada praeklampsia. Sakit kepala pun masih belum hilang.
Antara gejala yang saya temui hasil pembacaan saya adalah sakit kepala yang amat sangat, berasa tidak sihat, pening dan/atau muntah, kekeliruan, penglihatan terganggu seperti kabur atau ternampak tompokan cahaya, demam, sakit di bahagian abdomen (epigastrik atau bahagian atas sebelah kanan abdomen), penghasilan air kencing yang berkurangan, terdapat darah dalam muntah atau air kencing, sembab anggota badan dan kandungan protein yang tinggi di dalam air kencing.
Disebabkan itu, saya terus meminta suami menghantar saya Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) iaitu hospital yang saya pilih untuk bersalin.
Setelah merujuk kepada doktor pakar, saya terpaksa ditahan di wad kerana saya memang disahkan mengalami praeklampsia dengan kehadiran hipertensi dan protinuria. Bayangkan tekanan darah saya mencecah 160/140. Manakala air kencing saya juga dikesan mengandungi banyak protein.
Melalui pembacaan, faktor-faktor yang menyumbang kepada pembentukan praeklampsia ialah kehamilan pertama kali atau dipanggil ‘primigravida’. Selain itu, sejarah keluarga seperti ibu atau kakak yang menghidap praeklampsia juga memberi risiko kepada saudara atau anak perempuan untuk menghidapinya. Jika ibu hamil pernah mempunyai latarbelakang praeklampsia pada kehamilan lalu, kemungkinan untuk menghidapnya pada kehamilan seterusnya juga besar.
Oleh sebab itu, apabila saya hamil buat kali kedua, saya terus dinasihatkan membuat pemeriksaan seawal kandungan bagi mengelak kes yang sama berulang.
Selain itu, didapati bahawa ibu yang terlalu muda atau berumur dalam kategori kurang daripada 20 tahun atau kurang dari 35 tahun dilihat sangat berpotensi besar untuk menghidap praeklampsia.
Justeru, adalah amat penting bagi setiap wanita yang ingin hamil melakukan pemeriksaan kesihatan bagi menentukan mereka sihat. Antara pemeriksaan yang diperlukan ialah pemeriksaan tekanan darah, ujian darah untuk mengukur paras hemoglobin, ujian air kencing untuk mengesan penyakit buah pinggang dan kencing manis serta penyakit lain seperti penyakit jantung. Pemeriksaan dan ujian sebelum seseorang wanita itu hamil adalah penting untuk menentukan kesihatan dan kesejahteraan ibu dan bayi yang akan dilahirkan.
Sebenarnya tidak ada ubat yang khusus bagi penyakit praeklampsia melainkan rehat yang secukupnya. Doktor selalunya akan mencadangkan ibu berehat di hospital kerana kemungkinan berlaku gangguan jika ibu memilih untuk beristirehat di rumah kerana ini mungkin akan menyebabkan fikirannya tidak tenteram. Semasa di hospital pengawasan berkala dilakukan pada ibu dan bayi untuk menentukan keadaannya tidak berbahaya.
Disebabkan itulah selama seminggu saya dipantau di hospital dan katil saya betul-betul berhampiran dengan kaunter jururawat. Saya meminta untuk pulang ke rumah tetapi dihalang oleh doktor kerana bimbangkan keselamatan saya. Doktor bimbang saya akan mengalami risiko sawan.
Pagi itu sebenarnya saya sudah mengalami kekeliruan. Satu keadaan apabila otak dan tindakan tubuh badan saya tidak selari. Tetapi saya tidak memaklumkan kepada doktor kerana masih berharap untuk keluar dari wad. Dan kemuncaknya saya diserang sawan (eklampsia) pada pagi Jumaat selepas sarapan pagi.
Eklampsia adalah satu masalah kesihatan di mana pesakit yang mengalami gejala-gejala pra-eklampsia turut mengalami sawan. Komplikasi akibat eklampsia termasuklah angin ahmar (strok) disebabkan oleh pengecutan salur darah atau edema (kebengkakan) di bahagian otak. Komplikasi ini lazimnya akan kembali normal dengan sendirinya, namun ada di kalangan wanita ini yang mengalami kerosakan otak yang kekal.
Apabila berlaku situasi sebegitu, tindakan pantas dilakukan oleh doktor iaitu saya perlu bersalin kerana takut mengancam nyawa saya dan bayi.
Oleh yang demikian, penting bagi ibu yang mengandung sulung atau mereka yang melebihi umur 35 tahun ketika hamil atau mengalami kerumitan ketika hamil, mendapatkan pemeriksaan di peringkat awal kehamilan. Wanita juga patut mengawal tubuh badan mereka. Ketika hamil penting bagi si ibu mengawal makanan yang mengandungi banyak kanji, garam dan gula.
Pengambilan kalsium tambahan sebagai satu langkah untuk mencegah praeklampsia juga boleh dilakukan terutama bagi mereka yang pernah mengalaminya. Penurunan yang ketara dalam kejadian praeklampsia telah direkodkan bagi pesakit-pesakit yang diberi kalsium tambahan ini.
Kadang kala kita tidak dapat menjangka apa yang bakal berlaku sepanjang kehamilan. Cuma kita boleh berusaha mencegah dengan mengikut nasihat doktor, patuh dengan temujanji pemeriksaan, makan ubat yang dibekalkan dan yang paling penting adalah berdoa supaya kehamilan kita dipermudahkan oleh Allah.
Editor.
KOMEN