KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menjadi agensi zakat pertama di Malaysia yang memberikan skim perlindungan kepada pembayar zakat mereka.
Perlindungan tersebut adalah melalui Skim Kafalah Muzakki yang membantu waris pembayar zakat dalam mendapatkan sumbangan apabila berlaku kematian terhadap pembayar zakat tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Syukri Yusoff berkata, melalui skim berkenaan sumbangan bantuan yang berjumlah RM3,000 akan diserahkan kepada waris pembayar zakat.
“Pembayaran tersebut akan diserahkan kepada waris dalam tempoh 14 hari bekerja setelah permohonan dibuat di mana-mana kaunter PPZ-MAIWP.
“Bagi tempoh permohonan skim ini pula, waris perlu membuat permohonan selewat-lewatnya enam bulan selepas kematian pembayar zakat dengan menyediakan dokumen yang diperlukan antaranya seperti sijil kematian dan salinan kad pengenalan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, pembayar zakat individu secara automatik layak untuk menerima skim tersebut dan mereka membayar zakat sekurang-kurangnya RM50 setahun.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Skim Kafalah Muzakki di Wisma PPZ-MAIWP di sini sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman. – Kosmo
KOMEN