Home » Langit Terbuka » PPIM nafi seleweng hutang ah long RM160,000

PPIM nafi seleweng hutang ah long RM160,000

Adik Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) PPIM, Yusuf Azmi (tengah) yang dikenali sebagai Iman Azmi membuat kenyataan media bersama peguam, Mohd Fadli Yaakob (dua dari kiri) sewaktu ditemui wartawan di pejabat PPIM, Kondominium Vila Puteri. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 9 Mac – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan dakwaan seorang wanita yang wangnya sebanyak RM160,000 untuk dibayar kepada ceti haram atau ah long melalui bantuan PPIM diseleweng oleh Persatuan itu.

Peguam PPIM, Mohd. Fadhly Yaacob berkata, dakwaan itu tidak benar malah PPIM kini dalam usaha untuk menjelaskan dan menyelesaikan perkara ini secara profesional dengan wanita berkenaan.

“Tapi malangnya, seperti yang kita semua alami, kita menunggu, media pun menunggu tetapi wanita itu tidak muncul sehingga ke saat ini untuk tujuan perbincangan bersama.

“Lebih-lebih lagi wanita itu mendakwa akan membawa peguamnya sendiri dan saya mewakili peguam PPIM telah hadir dan bersedia untuk perbincangan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Biro Undang-Undang PPIM, di sini hari ini.

Semalam seorang wanita berusia 55 tahun bersama seorang anak datang ke pejabat PPIM menuntut persatuan membayar semula wang miliknya sebanyak RM160,000 yang diberikan bagi tujuan membayar hutang ah long

Sejak Disember tahun lalu, wanita itu menyerahkan wang tunai sebanyak RM250,000 setelah meminjam daripada 64 orang ah long sebanyak RM350,000.

Difahamkan PPIM hanya membayar sebanyak RM90,000 kepada ah long berkenaan dan RM160,000 selebihnya tidak diketahui ekoran wanita berkenaan masih dan terus diganggu oleh ah long.

Mohd. Fadly berkata, PPIM telah membantu membayarkan hutang pinjaman wanita itu kepada 40 ah long.

“Semalam kita sudah jelaskan perkara ini kepada wanita berkenaan dan hari ini perbincangan sepatutnya disambung kembali bagi mencari jalan keluar masalah ini.

“Tetapi tengoklah sekarang, kita dah tunggu sehingga pukul 5.30 petang, wanita itu tidak muncul setelah puas dihubungi,” katanya.

Menurutnya, PPIM akan tetap menawarkan bantuan dan kerjasama terhadap wanita berkenaan bagi menyelesaikan kekeliruan yang timbul.

“Namun ingin saya ulang, tidak timbul sebarang penipuan atau penyelewengan. Mungkin hanya salah faham,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *