Agama suci tiada kaitan dengan keganasan
ROM 1 Ogos – Pemimpin agama Vatican City, Pope Francis semalam menyatakan, tindakan mengaitkan Islam dengan keganasan adalah satu kesalahan, sebaliknya menyatakan ketidakadilan sosial dan wang sebagai punca utama keganasan.
Francis menjelaskan, hampir setiap agama mempunyai segelintir pengikut yang menganut fahaman pelampau termasuk Katolik memandangkan keganasan turut berlaku di Itali melibatkan pembunuhan oleh penganut agama tersebut.
Malah beliau berkata, terdapat banyak punca lain yang menyebabkan keganasan selain mengaitkan dengan ajaran agama tidak kira Islam atau Katolik.
“Bagi saya, keganasan semakin meningkat apabila pilihan sudah tiada dan wang dijadikan sebagai tuhan.
“Dua faktor ini merupakan punca awal keganasan yang bercanggah dengan sifat-sifat kemanusiaan. Lebih baik kita berbincang mengenainya,” kata Francis.
Beliau berkata sedemikian sebagai mengulas kes pembunuhan seorang paderi di Perancis pada 26 Julai lalu oleh sekumpulan penyerang yang mendakwa mereka sebagai anggota pengganas Daesh.
Selain itu, Francis menyifatkan pembunuhan paderi itu dan beberapa serangan lain menunjukkan dunia sedang berperang dan bukan dicetuskan oleh perbezaan agama.
Tambahnya, peluang ekonomi yang semakin kecil menyebabkan golongan muda di Eropah memilih jalan keganasan sebagai penyelesaian.
“Berapa ramai golongan belia di Eropah tidak memiliki pekerjaan?
“Disebabkan itu mereka terjebak dengan dadah, arak dan kumpulan pengganas,” katanya.
Beribu-ribu penduduk Islam dari Perancis dan Itali menghadiri majlis pengkebumian paderi yang dibunuh pada minggu lalu sebagai tanda perpaduan untuk menentang fahaman pelampau.
Antara pemimpin Islam yang hadir pada majlis itu ialah Rektor Masjid Besar Paris, Dalil Doubakeur yang juga Presiden Majlis Agama Islam Perancis.
– https://www.utusan.com.my
KOMEN