KUALA LUMPUR 29 Mac – Perjuangan politik berpaksikan kepada dendam dan perebutan kuasa akan menimbulkan fenomena permusuhan sesama sendiri sekali gus mengancam kestabilan politik negara.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata, menurut pandangan Imam al-Ghazali, perjuangan seumpama itu adalah tidak beretika yang menyebabkan negara dan rakyat berada dalam keadaan gelisah, tidak tenteram, kemudaratan serta mengancam kesejahteraan ummah.
“Ulama terkenal, Sayyid Muhammad Rashid Ridho menerusi kitabnya ‘al-Kassyaf’ turut memperakui fenomena ini sebagai satu daripada empat faktor yang membawa kepada perpecahan umat sehingga melahirkan kelompok merebut kuasa,” katanya.
Othman berkata demikian dalam ucapan perasmian Simposium Siyasah Syar’iyyah Dalam Konteks Peradaban Politik Masa Kini anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Simposium sehari itu dihadiri lebih 300 peserta antaranya badan bukan kerajaan (NGO), jabatan-jabatan mufti negeri, JPM dan Kementerian Pendidikan.
Walaupun Islam tidak melarang umatnya berpolitik, Othman berkata, Islam yang merupakan agama bermatlamat membebaskan manusia daripada kejahilan telah menggariskan prinsip dan etika akhlak sebagai panduan batasan halal haram berpolitik.
Katanya, politik dalam kerangka Islam adalah sama sekali berbeza dengan pendekatan politik barat mengikut fahaman Niccolo Machiavelli yang menghalalkan apa jua cara demi matlamat pangkat serta kuasa.
“Kuasa politik dalam sesebuah negara amat diperlukan namun perlu berlandaskan agama kerana menurutnya agama berperanan mengatur segala aspek kehidupan manusia termasuk sosial, ekonomi, budaya dan moral,” katanya.
Mengenai simposium itu, Othman berkata ia merupakan suatu usaha untuk merealisasikan pemikiran politik Islam sebenar sekali gus menerapkan pemikiran berasaskan ‘rabbaniyyah’ yang akan membentuk politik beradab. – BERNAMA
KOMEN