KUANTAN – Polis Pahang telah membuka tiga kertas siasatan bagi kesalahan dilakukan penyokong parti politik pada PRU14 ini sejak hari penamaan calon, Sabtu lalu hingga semalam.
Pegawai Perhubungan Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Komisioner Yahaya Othman berkata, dua kertas siasatan itu dibuka di Bentong dan satu di Temerloh.
Jelasnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 manakala satu lagi kes di bawah Seksyen 4 (a) Akta Pilihan Raya 1954.
“Setakat ini sebanyak 208 permit ceramah politik sudah dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah kepada ejen dan calon-calon yang bertanding di seluruh negeri ini.
“Semua parti-parti politik bertanding dinasihatkan dapatkan kelulusan permit bagi mengadakan ceramah terlebih dahulu dari Ketua Polis Daerah di kawasan masing-masing bagi mengelak perkara buruk berlaku.
“Ini sebagaimana diperuntukkan mengikut Sekyen 24B (3) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Boleh Mengadakan Perhimpunan Dan Syarahan Terbuka Dengan Kelulusan Permit),” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, kata Yahya, setakat ini suasana berkempen di seluruh negeri ini adalah terkawal.
“Polis merakamkan ribuan terima kasih kepada kesemua parti-parti politik yang berkempen kerana patuh kepada arahan dikeluarkan.
“Diharapkan semua pihak dapat mengekalkan semangat berkempen matang sehingga tamat tempoh berkempen pada jam 12 tengah malam pada 8 Mei ini,” katanya. – SINAR HARIAN
KOMEN