KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di masjid, surau dan kawasan penyembelihan sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut umat Islam mulai esok.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu termasuk pemantauan terhadap jumlah kehadiran di pusat penyembelihan yang dihadkan kepada 20 orang untuk setiap ekor haiwan.
Katanya, kerajaan telah mengambil keputusan untuk membenarkan ibadat korban untuk diadakan di masjid, surau dan kawasan yang telah dikenalpasti, namun SOP ditempat berkenaan haruslah dipatuhi.
“Seperti diumumkan sebelum ini, jamuan makan di rumah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha adalah dihadkan kepada 20 orang pada satu-satu masa,” katanya pada sidang media di Perdana Putra pada 30 Julai.
Sementara itu, Ismail turut mengingatkan orang ramai agar turut mematuhi SOP yang ditetapkan ketika mereka singgah di kawasan rehat dan rawat (R&R).
Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, baik bas atau kapal terbang, mereka perlu menggunakan pelitup muka pada setiap masa.
“Di kampung halaman, terutamanya di tempat-tempat awam yang sesak, pastikan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka dijadikan amalan.
“Dalam norma baharu ini setiap individu, keluarga dan masyarakat, andalah petugas barisan hadapan ataupun frontliners dalam usaha memerangi wabak Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette
KOMEN