BAITULMUQADDIS – Polis Israel kelmarin menyarankan supaya Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu didakwa atas tuduhan rasuah, pengumuman yang menggemparkan senario politik tempatan dan menimbulkan persoalan sama ada tampuk pemerintahan beliau sebagai akan berakhir.
Netanyahu yang menjawat jawatan Perdana Menteri selama hampir 12 tahun, berucap kepada rakyat Israel ketika berita mengenainya didedahkan. Dalam ucapannya, Netanyahu menafikan semua dakwaan terhadap dirinya dan bertegas tidak akan meletak jawatan.
“Selama bertahun-tahun saya menjadi sasaran sekurang-kurangnya 15 inkuiri dan siasatan oleh pihak berkuasa,” kata Netanyahu dalam ucapan tersebut.
“Sesetengahnya berakhir dengan saranan polis sama seperti malam ini. Namun, semua percubaan itu cuma omong kosong dan kali ini juga, mereka tidak akan dapat berbuat apa-apa,” tambahnya.
Keputusan sama ada untuk mengenakan dakwaan rasmi terhadap Netanyahu kini bergantung pada pejabat Peguam Negara.
Proses tersebut pula dijangka mengambil masa berminggu-minggu hingga beberapa bulan.
Seseorang Perdana Menteri yang menghadapi saranan sedemikian daripada polis ataupun yang telah didakwa secara rasmi tidak diwajibkan untuk meletak jawatan.
Polis Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa pihaknya menyarankan supaya Netanyahu didakwa atas kesalahan rasuah dan melakukan penipuan serta penyelewengan.
Polis menyiasat Netanyahu, antaranya berhubung dakwaan beliau dan keluarganya menerima hadiah mahal daripada penerbit Hollywood, Arnon Milchan dan bilionair Australia, James Packer.
Hadiah itu didakwa termasuk sejumlah cerut, arak mahal dan barangan kemas.
Menurut polis, nilai ‘habuan’ yang diterima Netanyahu di antara tahun 2007 hingga 2016 dianggarkan berjumlah AS$283,000 (RM1.1 juta). – AFP
KOMEN