Home » Langit Terbuka » Polis kenal pasti individu terlibat ajaran sesat PMYT

Polis kenal pasti individu terlibat ajaran sesat PMYT

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan. - Foto Amazingnara.com

KOTA KINABALU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mengumpul maklumat mengenai wanita bergelar Sittah Annur dan ajarannya, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), yang didakwa bertentangan dengan Islam.

 

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata siasatan perlu diteliti dan pihaknya akan mengumpul segala maklumat dengan lengkap mengenai ajaran ajaran itu.

 

Beliau berkata, ajaran serta gerakan seumpama itu bukan perkara baharu dan siasatan turut membabitkan jabatan lain.

 

“Saya lihat benda (ajaran PMYT) ini masih lagi dalam kawalan dan kita tidak boleh tergesa-gesa atau terburu-buru untuk bertindak.

 

“Kita harus mengumpul segala maklumat selengkap-lengkapnya kerana ia membabitkan jabatan lain iaitu Jabatan Agama Islam. Kita harus mendapatkan juga nasihat dan pandangan mereka,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah, di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada 2 September.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berhubung seorang wanita menggunakan gelaran Sittah Annur, yang mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah.

 

Beliau juga mendakwa memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

 

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan.

 

Mengulas lanjut Acryl Sani berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk memanggil individu terbabit.

 

“Sabar sedikit dan kita ada cara kita untuk menghadapi perkara ini. Dahulu pun kita berhadapan dengan perkara sama dan kita berjaya mengatasinya.

 

“Jadi kita ada teknik, ada cara, ada kaedah yang kita laksanakan dalam hal ini. Percayalah, kita tidak leka dan kita sentiasa memastikan bahawa ia tidak sampai menimbulkan kerisauan dan keresahan dalam kalangan masyarakat umum,” katanya.

 

Ditanya sama ada anggota beruniform turut menjadi pengikut ajaran PMYT, Acryl Sani berkata, pihaknya akan teliti dan semak perkara berkenaan.

 

“Jika betul, kita akan kenal pasti mereka yang terbabit dan tindakan akan diambil segera,” katanya. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *