GEORGE TOWN 5 Feb. – Seorang wanita yang mengedarkan kopi pracampuran yang disyaki mengandungi dadah secara percuma di sekitar Jelutong di sini diminta tampil bagi memberi keterangan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar pada sidang akhbar sebentar tadi berkata, keterangan wanita berketurunan Cina berusia 40-an itu dianggap penting bagi mengetahui sumbernya.
“Kita tengah kesan dia bagi mengetahui daripada mana dia dapat barang ini (kopi) untuk dia bagi (edar) secara percuma,” katanya.
Dalam pada itu Anuar berkata, setakat ini seramai tujuh individu telah menerima rawatan apabila mengadu mengalami simptom pening dan letih selepas meminum kopi itu selain lima laporan polis termasuklah dari pihak pengeluar kopi itu.
Anuar berkata, pihaknya mengsyaki terdapat unsur sabotaj apabila terdapat kesan gangguan pada pek kopi itu termasuklah keadaan kopi yang mengeras kerana teroksida, pertambahan berat, dan kesan pek yang digam semula. – K! ONLINE
KOMEN