Home » Langit Terbuka » Polis akan panggil Al Jazeera

Polis akan panggil Al Jazeera

Dokumentari bertajuk "Locked Up in Malaysia's Lockdown" berdurasi 25 minit 50 saat oleh Al Jazeera mendakwa berlaku diskriminasi membabitkan pendatang tanpa izin dari segi layanan . - Foto Change.org

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pengendali Al Jazeera dan wartawannya dalam tempoh terdekat untuk disoal siasat berhubung dokumentari yang diterbitkan media antarabangsa itu mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata tindakan itu diambil susulan beberapa laporan polis yang dibuat susulan isu terbabit.

“Dalam masa terdekat akan dipanggil, lagi cepat lagi bagus, ambil keterangan dan selesaikan kes. Saya secara rasmi memang tahu kertas siasatan sudah dibuka.

 

“Mereka akan dipanggil untuk jawab beberapa soalan. Peruntukan perundangan apa yang akan digunakan, sama ada bawah Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan 1948 bakal ditentukan selepas mereka jawab soalan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada pelancaran Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (BANCI) 2020, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini (7 Julai).

Abdul Hamid berkata, susulan laporan polis dibuat berhubung isu itu, menjadi tanggungjawab PDRM untuk jalankan siasatan, bagi menentukan sama ada wujud unsur hasutan atau kesalahan dari segi apa juga undang-undang.

“Saya tidak dapat angka (berapa banyak laporan polis dibuat setakat ini), tetapi ada beberapa laporan polis dibuat.

Semalam, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 500 Kanun Keseksaan adalah siasatan berkaitan kesalahan fitnah jenayah manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah kesalahan penggunaan aplikasi untuk membuat hantaran jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Dokumentari bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” berdurasi 25 minit 50 saat oleh Al Jazeera mendakwa berlaku diskriminasi membabitkan pendatang tanpa izin dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani wabak COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pada Ahad lalu dilaporkan berkata dakwaan itu tidak berasas kerana kerajaan sedaya upaya menyelamatkan negara daripada penularan COVID-19, tanpa mengira sama ada warganegara atau bukan warganegara. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *