DUA malam lepas, penulis dijemput Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai ahli panel dalam satu forum khas sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) kali ke-15 di Pusat Transformasi Luar Bandar, Kota Bharu.
Sesungguhnya melihatkan pencapaian PNB setelah 36 tahun ditubuhkan amatlah memberangsangkan. Kini lebih RM267 bilion dana-dana daripada hampir 11.9 juta pelabur kalangan rakyat marhaen diuruskan dengan cemerlang oleh PNB menerusi pelbagai skim unit-unit amanah seperti ASN, ASB, ASM, AS 1Malaysia dan dana proprietari.
Ini sekali gus membolehkan PNB mewakili kaum Bumiputera Islam yang merupakan pelabur utama menguasai pelbagai sektor strategik yang dulunya tidak pernah termimpi untuk kaum Bumiputera berpartisipasi.
Penubuhan PNB oleh kerajaan sebagai satu instrumen penting Dasar Ekonomi Baru bantu dasar afirmatif negara struktur semula masyarakat menerusi pemilikan saham Bumiputera dalam pelbagai sektor korporat, seterusnya memberi ruang kepada profesional Bumiputera untuk menyumbang secara langsung dalam penciptaan dan pengurusan kekayaan negara.
Ini sekali lagi buktikan komitmen kerajaan realisasi semangat Maqasid al-Syariah dalam konteks pemeliharaan harta dan pengurusan kekayaan yang memenuhi prinsip sebagaimana digariskan ALLAH dalam Surah Al-Hasyr ayat 7: “Harta kekayaan tidak harus berlegar hanya dalam kalangan orang kaya dalam kalangan kamu”
Namun sejak kebelakangan ini ramai yang mula mempertikaikan dasar-dasar bersifat afirmatif seumpama ini- tidak lagi relevan dalam dunia global masa kini.
Persoalannya benarkah tanggapan sinis segelintir mengenai dasar afirmatif seperti dasar pemilikan ekuiti Bumiputera tidak perlu dipertahankan?
Harus difahami, keadilan dalam ekonomi Islam tidak bermakna semua pihak berhak mendapat agihan secara sama rata. Ini kerana keadilan hanya mampu tercapai apabila sesuatu agihan mengambil kira status dan keupayaan sebenar satu-satu pihak.
Justeru tindakan afirmatif yang memberikan kelebihan kepada sesuatu kelompok, juga satu bentuk keadilan bagi menyeimbangkan kembali struktur sosioekonomi sesebuah negara. Ini sebahagian perencanaan politik atau siyasah syari`yyah yang dibenarkan syarak untuk
menjamin kemaslahatan umat dan keharmonian negara.
Pendekatan bersifat afirmatif dalam pengagihan kekayaan dalam kalangan masyarakat turut dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sendiri sebagai ketua negara yang mentadbir pelbagai kelompok di Madinah yang berlainan agama, bangsa, puak dan keturunan.
Umpamanya dalam peristiwa pembahagian harta Al-Fai’ iaitu hasil rampasan yang diterima tanpa berperang kepunyaan Bani Nadhir, Dalam pembahagian tersebut, Rasulullah hanya memperuntukkan harta tersebut kepada puak Muhajirin (para penghijrah dari kota Makkah) tanpa diberikan kepada puak Ansar (penduduk asal Madinah) melainkan kepada dua orang Ansar yang memang miskin.
Selaku ketua negara, Rasulullah menggunakan kebijaksanaan politik dalam pembahagian ini dengan mengambil kira kondisi masyarakat Muhajirin yang meninggalkan segala kekayaan mereka di Makkah demi tuntutan hijrah. Sedangkan puak Ansar memiliki limpahan kekayaan di Madinah hingga wujud ketidakseimbangan ekonomi yang ketara antara Ansar dan Muhajirin.
Pendekatan Rasulullah SAW ini turut mendapat restu ALLAH SWT apabila ayat al-Quran khusus diturunkan rakui tindakan Nabi:
Apa saja harta rampasan (fai’) yang diberikan ALLAH kepada RasulNya yang berasal daripada penduduk kota maka adalah untuk ALLAH, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya berlegar di antara orang-orang kaya saja daripada kalangan kamu. (Al-Hasyr:7)
Semua ini adalah bukti betapa pendekatan afirmatif dalam konteks pengagihan kekayaan bukanlah suatu yang asing bagi Islam, bahkan diperakui sebagai tindakan menjamin tertegaknya keadilan sosioekonomi dalam sesebuah negara dan masyarakat.
Moga-moga PNB terus menjadi instrumen dan institusi terunggul merealisasikan agenda afirmatif ekonomi, sekali gus memenuhi tuntutan Maqasid al-Syariah.
KOMEN