Sesuaikan diri dengan tanggungjawab, jauhi rasuah
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan menteri-menteri yang baru dilantik agar menjadi seorang yang pantas belajar dan dapat menyesuaikan diri dengan komitmen serta tanggungjawab baharu mereka.
Dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung di sini semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Dr. Mahathir turut mengingatkan semua menteri supaya sentiasa menginsafi bahawa rakyat yang meletakkan mereka pada kedudukan sekarang.
Sehubungan itu katanya, menteri-menteri baharu itu perlu memberikan yang sebaik mungkin dalam portfolio masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab.
“Perdana Menteri berulang kali mengingatkan anggota pentadbiran beliau supaya menjauhi sama sekali tabiat atau amalan rasuah. Tiada kompromi sama sekali kalau ia berlaku.
“Mesej yang ingin disampaikan adalah beliau mahukan satu disiplin dan integriti yang paling tinggi dalam kalangan anggota pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani nota serah tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini hari ini.
Saifuddin menambah, Dr. Mahathir pastinya meminta menteri-menteri baharu tersebut mengelakkan daripada amalan ala kadar dalam menjalankan tanggungjawab.
“Saya fikir itu adalah sangat penting dan bertepatan. Keupayaan kami juga sangat bergantung kepada kelompok pelaksana, justeru saya mengharapkan iklim kerja yang saling menghormati dan sikap percaya satu sama lain dapat diwujudkan,” katanya.
Ditanya sama ada kementerian bercadang menubuhkan majlis atau jawatankuasa tertentu untuk menangani isu kos harga barang, Saifuddin berkata, pihaknya belum bercadang ke arah itu.
KOMEN