Home » Kenyataan Media » Pilihanraya bukan lesen rosakkan perpaduan

Pilihanraya bukan lesen rosakkan perpaduan

Menjunjung Rukun Negara adalah satu kewajipan yang perlu dilaksanakan tanpa rasa berbelah bahagi oleh setiap warganegara Malaysia.

Kesetiaan kepada Raja Dan Negara serta Kesopanan Dan Kesusilaan adalah antara dua rukun tersebut yang nampaknya hari ini semakin dipandang sebelah mata, lebih-lebih lagi ketika negara sekarang akan berdepan Pilihanraya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya ahli politik bersatu hati mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik.

Baginda dengan jelas mahu semua parti dapat memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.

Penyokong blok atau fahaman mana sekalipun, tidak wajar dan tidak boleh mengamalkan politik perpecahan, apatah lagi barisan pemimpinnya.

Namun, yang berlaku ketika ini, PRN seolah-olah memberi lesen untuk bercakap dan memainkan sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R) sewenang – wenangnya.

Apakah kita masih belum mahu belajar daripada kisah-kisah hitam akibat perpecahan politik yang telah berlaku di negara sebelum ini ?

Sebagai badan dakwah, YADIM menyeru agar menjelang PRN yang semakin dekat akan dapat dihadapi tanpa bahang 3R yang setiap hari dijaja dan diputar belitkan.

Kita perlu bersyukur rakyat di negara ini masih boleh hidup aman damai dan menjalani kehidupan seperti biasa, jauh berbeza dengan negara lain yang rakyatnya menderita akibat pergolakan tidak berkesudahan.

Peralihan kerajaan selepas pilihanraya juga berlaku secara aman, nilai-nilai demokrasi dihayati dan dilaksanakan. Maka amalan dan penghayatan ini perlu terus dilaksanakan selepas PRN berlangsung nanti.

 15 JULAI 2023

DATUK HASANUDDIN MOHD YUNUS

YANG DIPERTUA YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *