SEPANG: Pihak dikaitkan dalam laporan sebuah agensi berita asing yang mendakwa kerajaan merancang mengeluarkan lesen pengoperasian kasino di Forest City, Johor, perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi berita itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mereka yang disentuh (dalam laporan itu) perlu mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Muktamar Islam Malaysia Airlines (MAB), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan meminta agensi berita berkenaan menarik balik laporan mereka, atau mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita berpangkalan di New York itu.
Semalam, Anwar dipetik menegaskan laporan media itu yang memetik sumber, baru-baru ini, adalah tidak betul dan bohong.
Laporan agensi berita itu mendakwa bahawa pengasas Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Tay, sedang berbincang dengan kerajaan berhubung pembukaan sebuah kasino di Forest City.
Menurut dakwaan laporan itu lagi, perbincangan mengenai pemberian lesen itu masih pada peringkat awal.
Projek Forest City yang terletak di Gelang Patah, bermula pada 2015 dengan 28,000 unit kediaman telah siap dibina, setakat ini, selain fokus utama pemaju kepada pulau buatan pertama seluas 560 hektar. – BERNAMA
KOMEN