YANGON 10 Jan. – Pihak berkuasa keselamatan Myanmar terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai membabitkan 10 etnik Rohingya pada September lalu, kata pejabat ketua tentera, apabila mereka mengaku buat pertama kali melakukan kekerasan yang mengakibatkan kumpulan minoriti Islam itu melarikan diri secara besar-besaran.
Pembunuhan beramai-ramai itu berlaku di kampung Inn Din, Rakhine pada 2 September lalu ketika ketegangan meningkat antara etnik Rohingya dan pasukan keselamatan serta etnik tempatan Rakhine berikutan pembunuhan seorang lelaki Rakhine, menurut laman Facebook.
“Beberapa penduduk kampung Inn Din dan anggota-anggota pasukan keselamatan mengaku mereka membunuh 10 pengganas Bengali,” kata pegawai yang dimuat naik dalam laman media sosial dengan menggunakan istilah yang merendah-rendahkan etnik Rohingya dan menyalahkan militan kerana menyebabkan pergolakan di kampung itu, lapor AFP.
Paparan tersebut juga merupakan pengakuan pertama kali mengenai kubur besar etnik Rohingya di negeri Rakhine berikutan penghapusan tentera terhadap militan kumpulan minoriti itu.
Justeru, pejabat itu berkata, pasukan keselamatan telah menangkap 10 militan Rohingya sebelum membunuh mereka ketika keganasan melanda kampung Inn Din dan kawasan sekitarnya.
“Keputusan yang diambil ialah membunuh mereka di kubur,” kata laman Facebook itu.
Para pelarian berjumlah beratus-ratus ribu orang yang melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh menyatakan secara konsisten mengenai pembunuhan beramai-ramai oleh anggota keselamatan Myanmar selain samseng etnik Rakhine.
Dakwaan tersebut, yang turut disahkan media serta kumpulan berhaluan kanan, menyaksikan Myanmar dituduh melakukan pembersihan etnik oleh Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan mencetuskan persoalan sama ada penghapusan yang dilakukan tentera adalah pembunuhan beramai-ramai.
Bagaimanapun sehingga kini tentera Myanmar menafikan dakwaan salah laku, membersighkan nama mereka sendiri terhadap sebarang salah laku dalam siasatan dalaman. – Agensi
KOMEN