Home » Analitis » Piala Dunia 2022 kikis fobia Islam

Piala Dunia 2022 kikis fobia Islam

TEMASYA bola sepak Piala Dunia FIFA 2022 bakal memasuki babak akhir. Penganjuran edisi ini yang merupakan termahal dalam sejarah, bukan semata-mata tentang besarnya nilai AS$220 bilion (RM965 bilion) yang dilaburkan tuan rumah Qatar, tetapi juga mahalnya perubahan persepsi terhadap satu agama suci.

Sesungguhnya Islam yang sejati itu universal. Islam itu mesra, mengasihi sesama insan, tidak pantas menghukum, bukan mundur, jumud mahupun radikal.

Hakikat bahawa Piala Dunia ini diadakan di sebuah daulah Islamiyyah dan Arab buat pertama kali bagai satu lorongan yang akhirnya mendorong mata dunia membuntang melihat sendiri keindahan syiar Islam, bukan seperti yang dimomokkan.

Biarpun kontroversi tidak putus-putus dicetuskan media Barat tentang penganjuran, realiti terpampang bagai sukar lagi ditentang.

Hari ini, jutaan masyarakat dunia hadir serentak ke sebuah negara Islam, memasuki masjid dan diperdengarkan azan. Mereka menyelami budaya Arab dan Islam, melihat umat Islam yang solat aman di persekitaran serta mendengar kalimah bahasa jannah di saat itulah bahasa rasmi kejohanan.

Tiada siapa pernah menyangka, ‘tirai’ temasya sukan dunia boleh dimulakan dengan alunan al-Quran dan gema semangat pembebasan Palestin bertebaran sehingga disifatkan ‘juara sebenar’ edisi ini ialah Palestin.

Masyarakat Islam Qatar dekati golongan kuffar dengan hemah. Wanita Islamnya menyua hijab dan wanita-wanita bukan Islam terpesona melihat rupa mereka pertama kali dalam ‘balutan’. Di sana sini ada risalah pengenalan Islam. Berhampiran stadium, orang ramai berpeluang mengikut penerokaan maya selama 5 minit untuk mengenali Islam.

Di kompleks-kompleks beli-belah, tertera pelbagai mesej berbuat baik daripada hadis-hadis Rasulullah. Di bilik-bilik hotel terdapat kod-kod QR untuk diimbas bagi mengetahui tentang Islam dalam pelbagai bahasa.

Banyak orang akui kunjungan ke Piala Dunia telah membantu mengubah pandangan mereka terhadap Islam. Menurut the theislamicinformation.com, ramai pengunjung Piala Dunia di Qatar tertarik dengan Islam, bahkan ada video bertebaran yang menunjukkan satu keluarga Brazil melafazkan syahadah, selain individu dari Mexico dan Argentina yang memeluk Islam.

“Selama ini kami prejudis tentang orang Islam dan Arab, mungkin kerana kurang pendedahan. Selepas ini, pandangan kami akan berubah,” kata penyokong Kanada, Dorinel Popa usai kunjungan ke masjid di Doha.

Negara hos sendiri bersama peserta negara Islam yang lain memang ada nawaitu mengikis fobia terhadap Islam apabila berhasrat memperkenalkan armband ‘No Place for Islamaphobia’ untuk dipakai kapten-kapten pasukan negara berkenaan, namun tidak kesampaian kerana disifatkan melanggar peraturan FIFA, lapor Daily Mail.

Di atas padang pula, bilion manusia tertawan melihat akhlak Muslim ditonjolkan pasukan Maghribi. Sujud syukur kala menang dan kalah, serta ibu diutamakan.

Kejohanan ini mungkin tidak sesempurnanya mengikut syariat, namun usaha yang dilakukan Qatar, negara yang pernah ‘dipulau’ kerana dianggap penyokong keganasan ini sebenarnya bagai dakwah yang tersirat, rahmat buat muslimin muslimat serta alam sarwajagat.

Oleh MUHAMAD ADHAM SHADAN, KOSMO

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *