KUALA LUMPUR – Â Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan Mahkamah Syariah di seluruh negara dan firma peguam syarie untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Presidennya, Musa Awang berkata, mahkamah dan sektor guaman yang tidak dibenarkan beroperasi menyebabkan berlaku permasalahan yang memberi kesan kepada masyarakat Islam secara keseluruhanya.
Katanya, gesaan itu dibuat kerana kes yang didengar dan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bukan hanya tertumpu kepada permohonan pernikahan, perceraian dan rujuk (NCR) sahaja, tetapi meliputi kes pertikaian lain seperti keganasan rumah tangga, permohonan perintah injunksi tegahan terhadap gangguan fizikal, injunksi tegahan terhadap harta, perebutan jagaan dan lawatan anak-anak, Perintah Interim jagaan anak dan sebagainya.
Katanya, statistik sedia ada menunjukkan peningkatan luar biasa kes perceraian semasa PKP.
“Sebanyak 6,569 kes penceraian didaftarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama PKP dari 18 Mac hingga 18 Jun tahun lalu (2020).
“Hilang punca pendapatan, menganggur dan tertekan semasa PKP mencetuskan ‘kebiasaan baharu’ dalam kehidupan masyarakat dengan meningkatnya kes-kes perceraian. Masalah kewangan menjadi antara penyebab utama berlakunya perceraian kerana ramai suami hilang atau kurang punca pendapatan disebabkan PKP.
“Kehilangan atau kekurangan pendapatan mencetuskan masalah kewangan dalam keluarga, menyebabkan konflik dalam rumah tangga dan berlaku perceraian,” katanya dalam satu kenyataan.
Musa berkata, apabila berlaku perceraian dalam tempoh PKP, sepatutnya mereka dapat merujuk permasalahan kepada Mahkamah Syariah atau peguam syarie, jika sekiranya kedua-dua institusi ini dibenarkan beroperasi.
Menurutnya, rujukan dan tindakan kedua-dua institusi ini penting supaya permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan dalam tempoh sewajarnya, supaya tidak timbul masalah lain. – Harian Metro
KOMEN