PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad kini menjadi tumpuan berikutan petisyen dalam talian yang melobi Perdana Menteri itu supaya dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan tahun ini.
Petisyen Change.org membandingkan Dr Mahathir dengan revolusi anti-apartheid oleh Nelson Mandela, telah dilancarkan pada Sabtu, dan sejak itu ia telah menerima lebih 26,300 tandatangan.
Menurut Alexandria Abishegam, petisyen yang ditujukan kepada Yayasan Nobel, mahu Dr Mahathir dicalonkan bagi Hadiah Nobel Keamanan sebagai pengiktirafan terhadap keazamannya untuk kembali ke dunia politik pada usia 92 tahun dan mengetepikan prasangka politiknya untuk bekerjasama dengan bekas pengkritiknya demi menyelamatkan negara.
“Hakitkatnya Tun Dr Mahathir juga secara terbuka mengakui kesilapan beliau dan memohon maaf di atas kesilapan yang lampau membuatkan beliau seorang yang begitu disegani dan seorang pemimpin yang wajar dicontohi,” menurut petisyen itu.
Petisyen tersebut turut meraikan pengerusi Pakatan Harapan itu kerana menerajui peralihan kuasa secara aman dan secara khusus menyatakan bahawa pentadbiran baharu itu bukan untuk “membalas dendam” terhadap pentadbiran sebelum ini di bawah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Diperkasakan oleh hak demokratik mereka telah menyaksikan peralihan kuasa buat pertama kali sejak negara memperoleh kemerdekaan daripada British pada 1957, rakyat Malaysia menyambut petisyen itu untuk menyuarakan pendapat mereka mengenai Kerajaan baharu.
Ia merupakan petisyen Change.org keempat yang telah dilancarkan sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada 10 Mei lalu.
Petisyen pertama dilancarkan pada 19 Mei sebagai tindak balas kepada bantahan terhadap pelantikan Menteri Pendidikan baharu.
Satu petisyen menggesa Dr Mahathir supaya mengekalkan keputusannya untuk menerajui portfolio Kementerian Pendidikan meskipun terdapat kritikan terhadap beliau berhubung pelanggaran klausa dalam manifesto Pakatan Harapan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri.
Pada masa sama, petisyen kedua dilancarkan sebagai sokongan kepada Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan.
Pada Isnin lalu, petisyen ketiga pula dilancarkan yang mempersoalkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap sekatan ke atas pendakwah kontroversi, Zakir Naik ke Malaysia. – MSTAR
KOMEN