SHAH ALAM – Peserta berstatus mualaf, Da’i Adam diangkat menjadi juara program Da’i Pendakwah Nusantara musim ke enam yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam tadi.
Berasal dari Ranau, Sabah, Da’i Adam atau nama sebenarnya Muhammad Adam Muhibullah Abdullah,26, turut membawa pulang hadiah wang tunai RM 60,000, dua tiket umrah beserta trofi.
Selain itu menerusi kategori Da’i Pilihan Almas, Da’i Adam turut diberi tambahan hadiah wang tunai sebanyak RM 2,000.
Sementara itu di tempat kedua dan ketiga pula dimenangi Da’i Imran dan Da’i Haziq yang masing- masing turut menerima hadiah wang tunai bernilai RM15,000 dan RM13,000.
Pemarkahan peserta pentas akhir ini turut dinilai juri tetap program ini iaitu Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail yang mewakili 80 peratus markah keseluruhan. Manakalah baki 20 peratus markah pula diberi melalui pemantauan Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan Ustaz Fakhrul Radhi Khamarudin yang juga murabbi program ini.
Masih mengekalkan Datuk Rosyam Nor sebagai hos, pentas akhir ini juga turut dimeriahkan dengan persembahan Tomok, Aizat Amdan dan Azmi Caliph Buskers. Manakala selebriti terkenal Indonesia Oki Setiana Dewi turut dijemput sebagai Tetamu Nusantara. – Utusan Malaysia
KOMEN