Home » Analitis » Perwatakan ‘binatang’ gugat umat Islam

Perwatakan ‘binatang’ gugat umat Islam

Tragedi dan konflik yang berterusan melanda umat Islam masa kini amat mendukacitakan kita semua. Peristiwa perbalahan dan persengketaan sesama umat Islam yang berlaku di Syria dan terbaru di Mesir menyerlahkan bobroknya keadaan umat Islam masa kini.

Dalam suasana sebegini kita pasti tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi kepada umat Islam yang suatu ketika dulu begitu digeruni dan dihormati kawan mahupun lawan. Apa sudah jadi dengan kehebatan umat Islam yang dulunya begitu menyerlahkan prinsip kesatuan dan perpaduan seperti yang diperintahkan Allah SWT.
Sejarah gemilang umat Islam suatu ketika, seolah-olah punah dan hanya tinggal nostalgia yang tidak mampu dijelmakan semula ke alam realiti hari ini.

Lebih mendukacitakan apabila umat Islam begitu mudah diperlekehkan dan terus diperkotak-katik dan diperlakukan sesuka hati oleh musuh Islam yang tidak lagi gentar dan gerun kepada umat yang pernah menguasai dua pertiga dunia suatu ketika dulu.

Benarlah apa yang pernah digambarkan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya: “Akan tiba satu masa di mana seluruh umat hampir mengelilingi kamu seperti mereka mengelilingi hidangan makanan. Seorang sahabat bertanya: Adakah kerana bilangan kami pada waktu itu sedikit hingga boleh diperlakukan sebegitu rupa?

“Baginda menjawab: Tidak, bahkan bilangan kamu pada hari itu ramai, tetapi kamu seperti buih-buih di lautan. Pada saat itu Allah akan mencabut perasaan gerun dari hati-hati musuh kamu dan tersemat di dalam hati-hati kamu penyakit ‘wahan’. Lalu sahabat bertanya lagi: Apakah yang dimaksudkan dengan ‘wahan’ itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab: Wahan ialah sikap cintakan dunia dan takutkan mati.” (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad dari Thawban).

Umat Islam terus ditindas
Sememangnya gambaran hadis ini sudah pun terjelma dalam realiti umat Islam kini. Penindasan yang berterusan ke atas umat Islam bukan kerana mereka sedikit.

Bahkan berdasarkan maklumat The World Factbook CIA, bilangan umat Islam seluruh dunia sudah melebihi dua billion atau satu per lima penduduk dunia iaitu kedua terbesar selepas Kristian. Bilangan yang ramai saja tidak memadai jika kualitinya umpama buih yang mudah berkecai tatkala dilambung ombak dan dihempas badai ke tepian.

Apa yang pasti, berlakunya pelbagai konflik kemanusiaan yang semakin berleluasa adalah kerana umum mengetahui negara Islam termasuk organisasi antarabangsanya seperti OIC tidak berupaya melindungi mereka. Bahkan penindasan terhadap umat Islam secara terbuka oleh musuh Islam semakin menjadi-jadi kerana mereka mengetahui umat tidak mampu melakukan apa-apa.

Usahkan untuk mengambil tindakan ketenteraan, sekadar memutuskan hubungan diplomatik dengan negara yang menyokong tindakan penindasan ke atas umat Islam pun mereka tidak bersedia. Ia adalah bukti nyata mengenai ketandusan semangat solidariti umat seagama dalam kalangan negara Islam kini.

Tidak sukar untuk mencari punca kepada segala kebejatan yang ada. Ia tidak lain dan tidak bukan kerana umat Islam rata-rata sedang menderita penyakit wahan seperti yang digambarkan Rasulullah SAW. Wabak wahan yang merebak kini sudah berjaya merobek kekuatan dan melumpuhkan kesepaduan umat Islam.

Natijah penyakit wahan ini sememangnya menggerunkan kerana dunia menyaksikan kelahiran umat Islam baru berwatak kebinatangan yang begitu rakus kepada dunia dan takut kepada risiko. Kerakusan terhadap dunia banyak dimanifestasikan dalam pelbagai watak kebinatangan yang lahir dalam diri umat Islam kini.

Ketakwaan, keimanan lemah

Bagi yang rakus berpolitik misalnya, watak binatang politik sering kali menjelmakan manusia yang hilang kewarasan dan pertimbangan akal budi insani hingga tergamak mempertaruhkan maruah dan agama demi kuasa dan takhta.

Manakala manusia berwatak binatang ekonomi pula rakus terhadap kekayaan material sehingga sanggup melahap keuntungan tanpa kawalan halal dan haram serta nilai moral dan etika.

Begitulah malapetaka besar yang sedang menimpa umat Islam lantaran terlalu mengagungkan kekayaan dan kekuasaan tanpa berteraskan ketakwaan dan keimanan. Akhirnya lahirlah manusia berkualiti buih yang berbudaya foya-foya tetapi pengecut, hilang daya juang dan tidak berani menghadapi risiko.

sumber Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *