Home » Langit Terbuka » Perutusan Aidil Fitri 1440H Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) YADIM

Perutusan Aidil Fitri 1440H Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) YADIM

Dr Hafidzah Mustakim

“Syawal 1440H : Kembali kepada fitrah, turuti syariat dan syukuri nikmat”

Allahu Akbar Allah Akbar Allahu Akbar Walillahil Hamd

ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar, BagiNya segala puji-pujian.

Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) YADIM mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua umat Islam di mana sahaja mereka berada dengan lafaz yang diamalkan oleh para sahabat Rasulullah SAW,  “Taqabbalallahu minna wa minkum (Semoga ALLAH menerima amalan kami dan amalan kamu)” .

Kita bersyukur kerana berjaya menjalani latihan mengendalikan nafsu dan menangkis segala kejahatannya demi membentuk sifat takwa dalam diri sehingga kita bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah ALLAH dalam semua aspek kehidupan dan berhati-hati menjaga diri jangan sampai terlanggar laranganNya.

Graduan madrasah Ramadan ini kita harap menjadi warga Malaysia yang mempunyai jatidiri yang teguh berpegang kepada ajaran agama dan nilai murni, menolak budaya rasuah sekeras-kerasnya dan menghayati prinsip kebenaran, kejujuran juga keadilan.

Aidil Fitri tahun ini juga kita sambut dalam keadaan saudara kita di beberapa belahan dunia terus dizalimi dan disakiti. Umat Islam di utara Syria contohnya terus mengalami pembantaian dan pembunuhan oleh rejim Basyar al Assad dan sekutunya. Keganasan yang berlaku ke atas rakyat Syria yang tidak berdosa dalam bulan Ramadan yang mulia ini adalah satu kezaliman di luar batasan kemanusiaan.

Mari kita panjatkan doa untuk kesejahteraan mereka disamping mendesak pihak berkuasa antarabangsa mencari penyelesaian terhadap konflik yang sedang berlaku.

Sempena bulan yang mulia ini, mari kita kembali kepada fitrah murni kita yang asal, fitrah mencintai kebaikan dan kebenaran MAWAR-YADIM menyeru semua anggota lapisan masyarakat untuk:

1. Merayakan Aidilfitri menurut syariat ALLAH, dengan membanyakkan takbir pada malam raya, mandi sunat di pagi raya, membayar zakat fitrah dan menjamah makanan sebelum solat sunat Hari Raya, menunaikan solat sunat Hari Raya, mendengar khutbah, mengucap tahniah antara satu sama lain dan berhibur dengan cara yang harus serta tidak melalaikan. Bersederhanalah dan jauhi sebarang pembaziran, kelalaian apatah lagi maksiat.

2. Mengajar dan menyebarkan akhlak yang baik melalui teladan berkasih sayang , menghubung silaturrahim, hormat menghormati dan kemahiran menangani kepelbagaian dalam kalangan ahli keluarga dan anggota masyarakat.

3. Mensyukuri nikmat pemberian ALLAH dengan berkongsi kegembiraan bersama keluarga dan anggota masyarakat yang kurang berkemampuan.

Marilah kita rayakan Aidilfitri dengan semangat persaudaraan sekaligus menjaga kesatuan dan keamanan yang merupakan kunci asas pembinaan Negara Rahmah idaman semua.

Dr Hafidzah Mustakim
Pengerusi MAWAR-YADIM
1 Syawal 1440H

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *