Home » Langit Terbuka » Peruntukan syiar Islam perlu diguna secara amanah, patuhi tatakelola – Menteri Agama

Peruntukan syiar Islam perlu diguna secara amanah, patuhi tatakelola – Menteri Agama

DATUK Dr Mohd Na'im Mokhtar. - Foto Metro

KUALA LUMPUR – Semua agensi di bawah pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam diharap akan menggunakan peruntukan tahun depan sebanyak RM1.9 bilion dengan amanah dan penuh tanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pengurusan peruntukan tersebut perlu diuruskan dengan tatakelola yang baik dan mengikut prosedur yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat kepada syiar Islam.

“Tatakelola (pengurusan peruntukan) ini perlu dilaksanakan dari pelbagai agensi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445H di Masjid Wilayah Persekutuan.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh kepimpinan Kerajaan Perpaduan kerana sepakat meningkatkan peruntukan untuk hal ehwal Islam dalam negara pada tahun ini.

Jelas beliau, ini membuktikan kerajaan komited untuk memperkasakan syiar Islam.

“Kalau kita tengok trend asal sebelum ini, peningkatan ini antara yang melonjak kepada 26.6 peratus.

“Ini menggambarkan bahawa keyakinan PM serta Kerajaan Perpaduan untuk memastikan syiar Islam di negara ini terus ditingkatkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im turut menyambut baik keputusan memendekkan tempoh proses pensijilan halal kepada 30 hari.

Menurut beliau, ia seiring dengan usaha berterusan Bahagian Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mahu meningkatkan kecekapan perkhidmatannya.

Malah beliau optimis Jakim mampu memendekkan lagi tempoh berkenaan kepada 23 hari pada masa akan datang.

“Ini adalah usaha berterusan yang dibuat oleh Bahagian Halal, Jakim, bahkan sasaran Jakim.

“Ini harapan dan komitmen yang akan diberikan oleh Bahagian Halal Jakim dan kita harap dengan kerjasama yang mantap antara Jakim dan Halal Development Corporation (HDC) dengan agensi lain selain pihak industri kita akan dapat pendekkan tempoh itu,” tambah beliau,

Selain, Mohd Na’im turut menzahirkan kegembiraannya dengan keputusan kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2024 semalam untuk mengembalikan geran bantuan RM20,000 kepada Sekolah Agama Rakyat (SRA) di bawah Jakim.

Beliau menyifatkannya sebagai usaha yang seiring dengan hasrat kerajaan dalam membentuk masyarakat Madani yang seimbang.

“Harapan kita dengan kembalinya semula geran ini, hasrat kita membangunkan pelajar yang seimbang dunia dan akhirat akan tercapai

“PM kerap sebut asas masyarakat Madani yang nak dibentuk adalah masyarakat yang mampu mengimbangi antara kehidupan dunia dan akhirat,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *