Home » Langit Terbuka » Peruntukan RM17 juta untuk Program Tahfiz bantu lahir ilmuan Islam

Peruntukan RM17 juta untuk Program Tahfiz bantu lahir ilmuan Islam

Gambar hiasan - Foto Bernama

KOTA BHARU: Peruntukan sebanyak RM17 juta oleh kerajaan untuk melaksanakan Program Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Belanjawan 2024 dilihat bukan hanya menyemarakkan syiar Islam, tetapi juga memberi impak positif kepada pembangunan institusi pengajian tahfiz.

Pengasas dan Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah Pasir Tumboh Mohd Fikri Mohd Kasim berkata peruntukan berkenaan menunjukkan kecaknaan kerajaan terhadap pembangunan institusi agama sekali gus mengukuhkan peranan pendidikan tahfiz dalam melahirkan ilmuan Islam negara.

“Peruntukan yang diumum boleh membantu mengukuhkan pengoperasian institusi agama dan tahfiz.

“Hal ini kerana sekolah agama dan tahfiz kini dilihat antara pemacu untuk melahirkan lebih ramai pakar agama yang turut mempunyai kemahiran bersesuaian dengan tuntutan semasa, sekali gus melahirkan ilmuan yang berpandukan Islam,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini

Beliau bagaimanapun berharap peruntukan berkenaan diagih secara telus dengan mengambil kira institusi agama yang lebih mendesak dan perlu segera dibantu.

Pengasas maahad tahfiz Pusat Bimbingan Ilmu Masjid Al-Amin Pengkalan Chepa Wan Badrolhisham Wan Ab Rahman, 48, berkata inisiatif kerajaan itu mendorong lebih banyak pusat tahfiz atau sekolah agama berdaftar dengan Majlis Agama negeri bagi mendapatkan bantuan secara teratur.

“Keadaan ini akhirnya memberi manfaat kepada pelajar apabila pembelajaran yang lebih kondusif dapat disediakan kepada mereka,“ katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI pada Jumaat lepas berkata peruntukan tersebut akan membuka peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *