Home » Langit Terbuka » Pertubuhan Kristian bantah AS

Pertubuhan Kristian bantah AS

 

PUTRAJAYA 22 Dis. – Pertubuhan Generasi Baru Kristian Malaysia (ANCOM) menyatakan solidariti bersama-sama umat Islam Malaysia, membantah keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Penasihat ANCOM, Jason Leong, berkata pihaknya tidak mengiktiraf keputusan yang diumumkan Presiden Donald Trump itu kerana ia bertentangan dengan ajaran Kristian yang menggalakkan keamanan dan keharmonian.

Katanya, tindakan AS yang mahu memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis bukan sekadar menjejaskan umat Islam, tetapi juga penganut Kristian, khususnya yang tinggal di Palestin.

“Ini bukan isu agama, tetapi lebih kepada isu kemanusiaan. Bagi penganut Kristian, keputusan ini perlu dibantah kerana Trump tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kitab Bible untuk menjustifikasikan agenda politik domestik dan peribadinya.

“Kami ingin memberi kesedaran kepada semua penganut Kristian bahawa kita patut mengekalkan status quo Baitulmaqdis seperti yang diperakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu ia kepunyaan orang Krsitian, Islam dan Yahudi.

“Kumpulan gereja di Palestin juga turut membuat memorandum membantah keputusan AS itu serta menyerahkannya kepada Trump kerana kami khuatir, ia akan meningkatkan risiko berlakunya keganasan di negara itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Putra di sini, hari ini.

ANCOM antara pertubuhan mewakili penganut Kristian yang menyertai Himpunan Putih: Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Himpunan itu turut disertai kira-kira 12,000 peserta terdiri daripada parti politik dan badan bukan kerajaan.

Jason berkata, keputusan Trump itu turut bercanggah dengan sambutan Krismas yang akan disambut penganut Kristian pada Isnin ini, memandangkan perayaan itu menyeru kepada keamanan.

“Ramai penganut Krisian di Malaysia tidak ada pengetahuan mengenai isu sebenar yang membelenggu Baitulmaqdis dan Palestin dan kami akan bergerak ke setiap gereja untuk memberi penjelasan mengenainya,” katanya.- BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *