PUTRAJAYA – Berita baik kepada ahli ahli Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (RSY) serta alumninya, anda kini berpeluang menyertai pertandingan mencipta logo baharu RSY yang menawarkan hadiah RM1,000.
Pertandingan yang hanya terbuka kepada ahli ahli RSY dan alumni ini adalah percuma dan setiap peserta dibenarkan menghantar seberapa banyak penyertaan menggunakan borang rasmi (setiap penyertaan mesti diisi di dalam borang berasingan).
Peserta hendaklah memastikan logo yang dihasilkan adalah ciptaan yang asli dan tidak ditiru dari mana-mana persatuan atau agensi dan lain-lain selain bertemakan warna ungu DAN jingga.
Segala kos untuk menyertai pertandingan ini adalah atas tanggungan peserta sendiri dan logo yang terpilih akan diguna pakai dan menjadi hak milik Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia sepenuhnya.
Semua logo yang diterima oleh pihak YADIM dalam pertandingan ini akan menjadi hak milik YADIM dan tidak akan dikembalikan. YADIM juga berhak ke atas logo yang terpilih sama ada untuk dipinda, diubahsuai ataupun bagi maksud untuk digunakan atau dipamerkan ataupun dicetak bagi tujuan menggunakannya sebagai logo rasmi.
YADIM berhak menggunakan semula, menerbit atau mempamerkan penyertaan di dalam apa jua bentuk media atau medium tempatan tanpa notis atau pembayaran kepada para peserta.
Borang penyertaan boleh didapati melalui whatsapp atau email wakil Majlis Pimpinan Kebangsaan (MPK), Majlis Pimpinan Negeri(MPN) serta Majlis Pimpinan Universiti (MPU) selain menghubungi Penolong Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda YADIM, Nor Izati Samsudin di 014-530 7270 atau Presiden MPK, Muhd Haikal Luqman Zulkefli.
Borang penyertaan boleh diemelkan kepada kemuda@yadim.com.my dan TIDAK BOLEH dihantar melalui mesin faksimili, selain hendaklah dihantar pada atau sebelum 24 September 2019.
KOMEN