Home » Langit Terbuka » PERTAMA lapor Neelofa kepada JAWI

PERTAMA lapor Neelofa kepada JAWI

Sheikh Abd Kareem Sheikh Kadaeid

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA) membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, hari ini, berhubung kontroversi pelancaran hijab oleh selebriti Neelofa yang dianjurkan di sebuah kelab malam itu.

Setiausahanya, Sheikh Abd Kareem Sheikh Kadaeid, berkata laporan itu dibuat untuk menyelamatkan maruah Islam yang tercemar.

Beliau berkata, ini kerana Neelofa memberikan reaksi yang enggan mengambil pandangan masyarakat mengenai kontroversi berkenaan wajar ditegur.

Katanya, video majlis pelancaran itu yang disebarkan itu bukan saja amat memalukan tetapi juga seolah-olah memperlihatkan nilai komersial itu diutamakan melebihi hukum syarak.

“Jika Neelofa tidak mahu ambil pusing nasihat masyarakat termasuk ulama, jadi lebih elok dia berdepan dengan undang-undang.

“Jika Neelofa tidak mahu fikir mengenai maruah Islam dan orang Melayu, apa akan jadi kepada anak bangsa kita yang cenderung untuk menjadikan selebriti sebagai ikutan,” katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Neelofa, selepas majlis pelancaran itu, berkata beliau tidak lagi peduli kritikan netizen dan kelab malam itu dipilih kerana sesuai dengan tema dan bajet acara yang dianjurkannya.

“Saya membuat keputusan untuk tidak mempedulikan lagi kritikan orang ramai berhubung mana-mana perkara, yang penting saya tahu apa yang dilakukan.

“Sampai bila pun takkan habis kalau terus melayan kecaman netizen. Jadi tahun ini, saya memilih untuk tidak ambil peduli lagi kata-kata orang,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), meminta Neelofa bertaubat dengan hati yang ikhlas kerana tindakan keterlaluannya itu boleh dianggap satu penghinaan terhadap Islam.

Presidennya, Dr Zamihan Mat Zin, perbuatan melancarkan hijab di kelab malam itu seakan mempersendakan agama.

“ASWAJA menyeru Neelofa supaya memohon keampunan dengan Allah SWT terhadap tindakannya yang agak keterlaluan dan melukakan hati umat Islam di negara ini.

“Diharapkan juga agar beliau tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama pada masa akan datang dan kembalilah kepada Allah SWT dengan taubat nasuha dan hati yang ikhlas,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *