KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) dan Persatuan Perubatan Islam Antarabangsa (Fima) menyokong penuh saranan mewajibkan vaksinasi kepada bayi dan kanak-kanak untuk mengelakkan kecacatan dan kematian dalam kalangan kelompok itu.
Presiden Imam, Dr Jeffrey Abu Hassan dan Pengerusi Majlis Penasihat Gabungan Fima, Dr Musa Mohd Nordin dalam kenyataan bersama berkata penolakan vaksin dari golongan anti-vaksin adalah dakyah tidak berasas.
Sejajar dengan anjuran agama menyarankan semua pihak merujuk kepada pakar yang arif, Imam dan Fima menyifatkan, semua dakwaan golongan akti-vaksin disangkal doktor pakar dan agamawan, termasuk mufti.
“Pakar perubatan telah menerangkan secara jelas vaksin bertujuan mencegah kecacatan dan kematian. Penyakit cacar yang meragut 300 juta nyawa pada kurun ke-20 berjaya dibasmi dengan vaksin cacar.
“Polio juga bakal dihapuskan tidak lama lagi. Pihak berkewajipan agama juga telah menetapkan vaksin di Malaysia halal dan boleh digunakan,” katanya.
Kementerian Kesihatan dilaporkan bersedia menimbang cadangan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), mewajibkan sekurang-kurangnya 2 daripada 12 vaksin bawah Program Imunisasi Kebangsaan.
Menteri Dr Dzulkefly Ahmad Baru baru ini dilapor berkata cadangan mewajibkan suntikan itu membabitkan vaksin MMR iaitu bagi campak, beguk dan rubella serta vaksin difteria yang akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.
Jeffrey dan Musa berkata, asal usul dan kajian vaksin juga bermula dari tradisi Islam di mana Ar-Razi mewasiatkan tulisan awal mengenai penyakit cacar dan campak di kurun ke-10.
“Pakar perubatan di Daulah Uthmaniah pada kurun ke-17 mempraktikan kaedah variolation untuk mencegah cacar. Konsep vaksinasi ini dibawa ke United Kingdom (UK) oleh Lady Montague, isteri kepada duta Britain di Turki yang memberikan ilham kepada Edward Jenner untuk mencipta vaksin cacar pada 1796,” katanya.
Jeffrey dan Musa berkata vaksin menyelamatkan kira-kira 2.5 juta nyawa setiap tahun.
“Agama menetapkan pencegahan lebih baik daripda pengubatan. Ia ketara di dalam pengunaan vaksin yang bertujuan mencegah kematian dan kecacatan akibat penyakit berjangkit,” katanya. – Bernama
KOMEN