Kuala Lumpur: “Kajian menunjukkan tiada kanak-kanak yang gembira apabila ibu bapa mereka berpisah.”
Demikian kata Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah merangkap Timbalan Dekan Industri, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff mengenai perpisahan ibu bapa memberi kesan emosi mendalam terhadap anak-anak.
Izhar menegaskan, walaupun Islam membenarkan perpisahan atau perceraian, proses itu harus dijalankan dengan penuh kebijaksanaan.
“Terlebih dahulu kita kena fahamkan kepada anak-anak yang Islam membenarkan perpisahan atau perceraian tetapi perkara itu perlu dilakukan dengan bijaksana.
“Sebagai ibu bapa perlu faham anak-anak akan tertekan jika berlaku perpisahan apatah lagi jika membabitkan kekasaran.
“Oleh sebab itu kita patut berbincang dengan baik dan solusinya adalah tidak bergaduh dalam menjaga anak-anak serta perbincangan berterusan perlu dilakukan serta saling hormat menghormati walaupun sudah tidak sebumbung.
“Tidak boleh ada persengketaan sebaliknya hormat keputusan satu sama lain. Jika ini dapat dibuat dengan baik saya yakin anak-anak tidak akan terkesan dalam kehidupan mereka,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Izhar, beliau juga menasihatkan agar ibu bapa meninggalkan kesan positif kepada anak-anak dan bukan kesan negatif yang boleh menyebabkan trauma atau fobia.
“Semua yang melalui ujian ini perlu menerapkan sifat reda terhadap qada dan qadar Allah SWT.
“Ibu bapa perlu menyelesaikan isu rumah tangga dengan bijaksana tanpa perlu bergaduh dalam memberi hak jagaan tetapi perlu saling bekerjasama untuk menjaga dan membesarkan anak-anak di peringkat sekolah atau universiti.
“Jika dapat bergabung dan saling tolong-menolong khususnya dalam isu kewangan anak-anak pasti akan lebih hormat kepada keduanya kerana sanggup tolong menolong demi mereka.
“Tinggalkan kesan yang baik dan positif kepada anak-anak. Jangan kita meninggalkan kesan negatif hingga menyebabkan anak-anak fobia dan dan trauma terhadap kehidupan rumah tangga,” katanya.
Dalam masa sama, Izhar mengingatkan setiap pasangan yang ingin berkahwin supaya memilih pasangan yang mempunyai pegangan agama yang baik.
“Selain itu, setiap individu juga patut berbincang dan mengambil pandangan orang tua kerana mereka sudah melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan rumah tangga.
“Langkah-langkah lain yang boleh diambil juga adalah kenali hati budi pasangan. Jangan gelojoh dalam memilih pasangan sebaliknya mengenali mereka dengan lebih dekat dalam pelbagai aspek,” katanya.
KOMEN