JEDDAH – Beberapa permit baharu diperkenalkan dalam aplikasi Eatmarna untuk kegunaan jemaah umrah.
Setiausaha Kementerian Haji dan Umrah merangkap penyelia aplikasi tersebut, Abdulrahman Shams berkata, antara permit baharu yang diperkenalkan termasuk kebenaran untuk menunaikan solat sebanyak sekali di dalam Masjidilharam, solat di Raudhah di Masjid an-Nabawi dan menziarah makam Nabi Muhammad SAW.
Katanya, para jemaah perlu memohon kesemua permit tersebut jika berhasrat untuk melakukan perkara yang disenaraikan.
Hal ini bertujuan mengawal pergerakan jemaah bagi mengekalkan penjarakan sosial dan pematuhan protokol kesihatan Covid-19.
“Semua aktiviti ziarah dan solat di kawasan utama umrah disusun dengan teliti berdasarkan kapasiti jemaah dan kebenaran pihak berkuasa.
“Pandemik Covid-19 mengehadkan pergerakan para jemaah, namun kerajaan Arab Saudi tetap berusaha memastikan mereka mendapat kemudahan yang selesa dan selamat,” katanya seperti yang dilapor Arab News. – Utusan Digital
KOMEN