KUALA LUMPUR : Permintaan terhadap makanan dan minuman halal Jepun dijangka kekal tinggi pasca penganjuran Sukan Olimpik Musim Panas 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros berkata, selain produk makanan halal di Jepun yang sinonim dengan kebersihan dan gaya hidup sihat, banyak acara antarabangsa dijadualkan berlangsung di Jepun pasca Sukan Olimpik Musim Panas 2020 akan menarik jutaan pelancong termasuk yang beragama Islam.
“Permintaan terhadap makanan halal berkembang di pasaran domestik selain daripada kemasukan pelancong beragama Islam.
“Makanan halal bermula atas sebab keagamaan, tetapi hari ini ia lebih kepada gaya hidup sihat dan kebersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di forum bertajuk Peluang Perniagaan Dalam Industri Halal di Jepun di sini, semalam.
Hadir sama Pengasas Halal Media Jepun, Shinya Yokoyama dan Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun External (JETRO), Akira Kajita.
Terdapat beberapa acara antarabangsa utama dijadual diadakan di Jepun pasca Sukan Olimpik Musim Panas 2020.
Jepun yang memberi tumpuan melonjakkan angka kemasukan pelancong ke negara itu, menyasar memanfaatkan Sukan Olimpik Musim Panas 2020 yang akan diadakan di negara itu bagi menarik satu juta pelancong beragama Islam setahun. – HARIAN METRO
KOMEN