KUALA LUMPUR – Program Jom Celik al-Quran yang ketika ini dilaksanakan di Wilayah Persekutuan diharap dapat diperluaskan ke seluruh negara bagi membolehkan lebih ramai mendapat bimbingan serta memperbaiki bacaan ayat suci.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata isi kandungan dan tafsiran al-Quran sentiasa relevan untuk dijadikan panduan dan amalan hidup pada setiap masa.
“Program ini antara satu tanggungjawab fardu kifayah ke atas Majlis Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk memastikan umat Islam di wilayah ini boleh membaca al-Quran atau sekurang-kurangnya mahir surah yang menjadi rukun dalam solat.
“Menerusi peranan Institut Pengajian Al-Quran (IPaQ), pihak itu mempunyai kaedah tersendiri yang terbukti dan teruji keberkesanannya melatih peserta daripada buta huruf kepada celik al-Quran,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas perasmian Majlis Khatam al-Quran Jom Celik al-Quran kali kedua di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) IPaQ, Kasmuri Sukardi yang mewakili Pangerusinya, Prof Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff.
Idris berkata, Program Jom Celik al-Quran pada asalnya dimulakan di Sabah dan Sarawak sebelum dibawa ke Wilayah Persekutuan pada 2020.
“Menerusi siri pertama dan pada kali ini siri kedua berlangsung antara 13 November hingga 19 Jun lalu yang ia berjaya melatih 120 peserta baharu.
“Program Tahsin al-Quran ini dibuka kepada semua lapisan masyarakat selain penerima bantuan zakat MAIWP di lima lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Wilayah Persekutuan,” katanya.
Katanya, program itu akan diteruskan dengan pelaksanaan secara berkala sebagai satu usaha penyampaian ilmu melalui al-Quran dan seterusnya menjadi amal ibadat bekalan akhirat.
Suri rumah, Maimum Mohd Ismail, 54, yang menyertai program itu di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Jalan Ipoh, di sini, mengakui berasa tenang apabila berpeluang mendalami kitab suci, selain gembira dapat belajar secara berkumpulan dengan peserta lain.
“Selagi ada kesempatan dan umur, baca al-Quran setiap hari kerana ia membantu kita menghayati isi kandungan kitab suci dan membantu memperbaiki bacaan dari masa ke masa. Selalunya saya mengaji selepas isya kerana kekangan masa waktu siang,” katanya. – Berita Harian
KOMEN