IPOH – Isu murtad bukan bersifat peribadi atau semata-mata konflik kepercayaan, sebaliknya perlu dilihat dari sudut keselamatan, kata Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.
Beliau berkata tindakan menyenaraikan isu murtad atas dasar hak individu dan prinsip kebebasan beragama bakal menjejaskan usaha menanganinya secara kolektif.
Katanya, setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab menangani isu murtad secara kolektif, walaupun sewaktu dilekakan dengan pelbagai isu besar seperti COVID-19, persengketaan politik dan kemelesetan ekonomi.
Menurutnya, kecemburuan masyarakat terhadap sesuatu nilai yang merosakkan agama dan dan kepercayaan hendaklah didahulukan tanpa menunggu angka yang banyak untuk bertindak.
“Kita bukan sekadar menghadapi krisis keruntuhan akhlak, konflik politik, perpecahan umat, kecuaian ibadah, kelemahan meninggikan syiar Islam dan pembudayaan songsang sebaliknya kekhuatiran utama yang perlu disedari adalah membabitkan permasalahan iman dan kufur.
“Sedarkah kita bahawa jika murtad hanya sekadar konflik kepercayaan peribadi, mengapa begitu agresif Saidina Abu Bakar memerangi golongan ini sewaktu pemerintahan beliau yang tidak lain menunjukkan betapa seriusnya kesalahan murtad,” katanya dalam kenyataan pada 6 April. – Berita Harian
KOMEN