Home » Langit Terbuka » Perlu SOP urusan ibu susuan

Perlu SOP urusan ibu susuan

Mufti Kelantan berkata, pihak hospital yang menguruskan ibu susuan perlu ada prosedur operasi standard terbaik dengan merekodkan maklumat pemberi dan penerima

KUALA LUMPUR – Hukum menjadi ibu susuan adalah harus di dalam Islam, namun kedua-dua pihak sama ada pemberi mahupun penerima perlu teliti dan sebaiknya dibekalkan dengan dokumen rasmi supaya tidak menimbulkan masalah kelak.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pihak hospital yang menguruskan perkara itu perlu ada prosedur operasi standard (SOP) terbaik dengan merekodkan maklumat pemberi dan penerima.

“Dalam Islam, kita tolak bank susu, namun untuk menjadi ibu susuan adalah harus. Cuma segala maklumat perlu direkod dengan baik oleh pihak hospital dan pihak pemberi serta penerima juga perlu teliti kerana ia membabitkan kesan jangka masa panjang bagi menjaga hukum.

“Kebanyakan mereka yang memerlukan adalah golongan bayi pramatang apabila ibu kandungnya tidak mampu menyusukannya, sedangkan khasiat itu begitu diperlukan bagi bayi pramatang.

“Jika semuanya direkodkan dengan baik, jadi tidak berbangkit sebarang masalah dan pihak pemberi dan penerima juga digalakkan menerima dokumen seperti sijil kelahiran untuk rujukan kelak,” katanya hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kesedaran tinggi terhadap kebaikan dan khasiat susu ibu menyebabkan ramai wanita bersedia menjadi ibu susuan untuk menyusukan bayi secara eksklusif.

Pengerusi Inisiatif Hospital Rakan Bayi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Noraida Ramli berkata, sebaik lahir, bayi perlu menyusu badan bagi mendapat khasiat terbaik.

Katanya, seorang ibu akan berasa sedih serta terdesak apabila mereka tidak mampu memberi susu badan dan berusaha memberi alternatif lain termasuk mendapatkan bantuan daripada ibu susuan.- Harian Metro

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *