Home » Langit Terbuka » Perlis pantau sekolah agama daripada anasir ganas

Perlis pantau sekolah agama daripada anasir ganas

KANGAR, Khamis – Kerajaan negeri memberi jaminan semua 45 buah sekolah rendah dan menengah agama termasuk tadika Islam seluruh Perlis bebas daripada sebarang penerapan unsur keganasan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Khairi Hassan berkata, kerajaan mengadakan lawatan secara berkala bagi memantau operasi di sekolah-sekolah berkenaan.

“Usaha berterusan dilakukan kerajaan bagi mengekang sebarang anasir keganasan seperti militan Daesh daripada dibawa masuk ke negeri ini melalui medium pendidikan, di mana sekolah berkenaan dipastikan untuk mengikut segala prosedur yang ditetapkan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menjawab soalan Asmaiza Ahmad (BN-Chuping), Khairi berkata hal ini termasuk tapisan dan pemilihan guru-guru agama terutama dari negara luar lebih-lebih lagi kawasan yang sinonim dengan kegiatan keganasan.

Khairi berkata, setiap mudir di sekolah-sekolah tahfiz dan yang berkaitan juga dijemput untuk bersama-sama menghadiri pelbagai taklimat selain berbincang dan mendengar cadangan berkaitan operasi sekolah yang perlu dipatuhi.

“Malah, kerajaan turut menetapkan dua syarat wajib dipatuhi bagi jemputan penceramah asing, dalam dan luar negeri Perlis iaitu mesti mendapat surat tauliah dan kebenaran Jabatan Mufti Negeri.

Seterusnya, pihak yang mahu menyampaikan ceramah di Perlis perlu melepasi proses tapisan keselamatan dan mendapat kebenaran PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Kementerian Dalam Negeri,” jelasnya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *